GEORGE TOWN – Seramai 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 PGA Kulim, Kedah yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemerasan di sebuah kilang memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) di Tasek Gelugor baru-baru ini, telah dibebaskan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, bagaimanapun, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Menurut Dennis Lim, kes itu terbongkar selepas seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah didakwa mendekati mangsa susulan operasi serbuan di kilang terbabit, sebelum mangsa membuat laporan polis.
“Daripada laporan itu, kita mulakan siasatan. Melalui orang tengah berkenaan, kita menahan keseluruhan kumpulan untuk membantu siasatan.
“Kesemua 10 pegawai dan anggota itu dipercayai daripada pasukan sama yang terbabit dalam operasi berkenaan.
“Laporan polis yang dibuat mangsa pada awalnya menyatakan jumlah wang yang didakwa terbabit adalah RM60,000, namun siasatan awal mendapati jumlah sebenar mungkin lebih tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tambah beliau, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan kes berkenaan membabitkan sebuah kemudahan pemprosesan e-waste.
“Siasatan masih berjalan dan kita sedang mengumpul risikan serta keterangan sebelum menentukan tindakan seterusnya.
“Fakta kes memang ada, tetapi kita masih mengumpul risikan dan keterangan. Kita tidak mahu mendedahkan maklumat terlalu awal kerana ia boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 21 Ogos lalu melaporkan seramai 10 anggota PGA Batalion 2 PGA, Kulim, Kedah ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan di sebuah kilang memproses sisa elektronik di Tasek Gelugor pada 19 Ogos lepas.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua yang ditahan berusia 30-an hingga 40-an terdiri dengan pangkat tertinggi inspektor dan paling rendah konstabel. – MalaysiaGazette
















