Bangunan Menara Tabung Haji.

KUALA LUMPUR – Dalam sistem demokrasi berparlimen, tiada laporan seperti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  Lembaga Tabung Haji (TH) yang “kebal” daripada dibahas, ditanya atau dikritik secara terbuka.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, meskipun laporan RCI berkenaan merupakan dokumen rasmi yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dihasilkan menerusi proses siasatan,  ia tidak bermakna laporan berkenaan kebal daripada perbahasan atau penelitian awam.

Jelas beliau, Sidang Khas Dewan Rakyat yang diadakan pada 11 Ogos lalu membuktikan laporan berkenaan boleh dibincangkan secara terbuka.

“Sidang Khas dimulakan dengan penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai isi laporan RCI. Selepas itu, Dewan dibuka untuk sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen dari semua pihak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Azizi Safar

Lagipun, perbahasan itu bukan bertujuan menggugurkan atau membatalkan laporan RCI, sebaliknya memberi ruang untuk meneliti penemuan berkaitan kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, amalan perakaunan, jurang aset dan liabiliti serta 14 pelaburan bermasalah.

Sebaliknya, perbahasan itu merupakan ruang untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakan susulan dan status pelaksanaan 25 syor RCI serta memastikan akauntabiliti dilaksanakan tanpa pilih kasih.

Beliau berkata, Sidang Khas Dewan Rakyat merupakan mekanisme ketelusan dan pengawasan Parlimen bagi memastikan penemuan laporan berkenaan dapat diteliti serta tindakan sewajarnya diambil.

Oleh itu, beliau menegaskan, perbahasan mengenai Laporan RCI TH boleh dilakukan sama ada di dalam atau luar Dewan Rakyat kerana kedua-duanya meninggalkan rekod awam.

“Persoalan sebenarnya bukan ‘Bolehkah laporan RCI dipersoalkan?’, tetapi ialah ‘Bagaimana ia dipersoalkan’,” katanya.

Menurutnya, perbahasan di Dewan Rakyat mempunyai struktur, disiplin dan akauntabiliti, manakala perbahasan di luar Dewan lebih bebas serta berpotensi dipengaruhi emosi dan naratif politik.

Bahkan, kata beliau, rakyat kini boleh meneliti sendiri laporan RCI yang telah didedah dan membandingkan kenyataan pemimpin dengan kandungan sebenar laporan berkenaan.

Malah, katanya, perbahasan mengenai Laporan RCI TH juga boleh diteruskan apabila Dewan Rakyat kembali bersidang pada Oktober sempena pembentangan Belanjawan 2027.

“Ahli-ahli Parlimen boleh ajukan lebih banyak soalan tentang UJSB, peruntukan kerajaan untuk penebusan Sukuk UJSB bila matang dan lain-lain. Dan, benarkah UJSB adalah penyelamat kepada Tabung Haji?,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here