Menteri Kewangan 11, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melawat seorang peniaga di Karnival BSN Mikro MADANI di Wisma BSN di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pembiayaan mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) menjadi pemangkin utama membantu usahawan kecil bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk membolehkan mereka membuka semula premis, membeli peralatan dan mengembangkan perniagaan.

Pengusaha kedai kopi Sprezzatura, Mirwan Badri, 41, berkata, pembiayaan sebanyak RM50,000 menerusi pembiayaan mikro BSN membolehkannya menghidupkan semula perniagaan yang hampir terpaksa ditutup ketika pandemik.

Menurutnya, dana berkenaan digunakan untuk membeli semula perabot kedai serta mesin kopi bagi membolehkan operasi perniagaannya berjalan seperti biasa.

“Waktu Covid-19 dulu, bisnes saya sudah hampir nak tutup. Bila saya nak mula semula buka kedai kopi, saya perlukan pembiayaan.

“Saya pergi ke BSN dan memohon RM50,000. Duit itu saya gunakan untuk beli semula perabot kedai dan mesin-mesin kopi. Sejak itu saya boleh mulakan semula perniagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 & Karnival BSN Mikro MADANI di Wisma BSN di sini hari ini.

 

 

Mirwan Badri Ahmad Badri. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

Mirwan turut berasa terharu selepas dipilih sebagai antara 69 usahawan daripada kira-kira 180,000 pelanggan pembiayaan mikro BSN untuk menyertai kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat BSN tahun ini.

Katanya, peluang berkenaan memberi semangat baharu untuk terus memperbaiki dan mengembangkan perniagaannya.

Sementara itu, pengusaha Tingkap Cafe, Nurul Adila Ridzuan, 35, pembiayaan mikro BSN membantu beliau mengembangkan perniagaan daripada menghasilkan kuih di rumah kepada membuka sebuah kafe.

Usahawan, Nurul Adila Ridzuan. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

“Pada awalnya saya hanya membuat kuih tepung pelita pada bulan Ramadan. Dari situ perniagaan berkembang daripada dibuat di rumah sehingga kami membuka sebuah kafe.

“BSN memang banyak membantu dari segi pembiayaan mikro untuk kami kembangkan perniagaan,” katanya.

Nurul Adila berkata, pembiayaan sebanyak RM130,000 yang diterimanya secara berperingkat digunakan untuk kerja pengubahsuaian kedai, pembelian perabot serta hiasan bagi mengekalkan konsep vintaj kafenya.

“Saya sangat seronok dan bersyukur. Tidak sangka terpilih daripada ramai peserta. Ini memang akan membantu kami mengembangkan perniagaan dengan lebih meluas.

“Saya berharap lebih ramai usahawan dan peniaga di luar sana mengetahui mengenai pembiayaan ini kerana ia sangat membantu mereka menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan,” katanya yang turut melahirkan rasa syukur selepas terpilih sebagai salah seorang daripada 69 usahawan untuk menyertai kempen berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here