MELAKA – Keterujaan untuk menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menyebabkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) tidak tidur sejak malam tadi.
Mohamad Fazli Mokhtar, 40, hadir bersama bapanya, Mokhtar Ibrawi, 71, dan ibunya, Rosnah Roslan, 58, di Persiaran Jalan Pantai, Klebang, di sini, hari ini.
Menurut Mokhtar, anaknya begitu bersemangat untuk menyaksikan raptai berkenaan buat kali pertama sehingga tidak dapat melelapkan mata.
“Dia tidak tidur dari malam tadi kerana tidak sabar hendak datang melihat raptai penuh dan sebagai bapa, saya layan sahaja kehendaknya dan bawa dia datang ke sini.
“Ini kali pertama kami datang menyaksikan raptai Hari Kebangsaan, saya mempunyai empat orang anak dan kami sekeluarga memang bersemangat untuk meraikan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Mokhtar yang tinggal di Taman Seri Rambai, Bukit Rambai mengambil peluang hadir kerana lokasi sambutan di Klebang berhampiran dengan kediaman mereka.
Katanya, sebelum kemalangan, Fazli telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Bagaimanapun, kehidupan anaknya berubah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Johor sembilan tahun lalu.
Katanya, Fazli mengalami kecacatan kekal pada bahagian kaki dan tidak boleh berjalan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu.
“Ketika kejadian, Fazli sedang dalam perjalanan dari Melaka ke Johor untuk kembali bertugas di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Kem Ulu Tiram, Kota Tinggi.
“Kemalangan di lebuh raya itu turut menyebabkan Fazli mengalami gangguan mental sehingga memerlukan perhatian dan penjagaan keluarga,” katanya.
Mokhtar berkata, kehadiran mereka bukan sahaja untuk memenuhi hasrat Fazli, malah sebagai tanda menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.
Raptai penuh Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka itu berlangsung sebagai persediaan menjelang sambutan pada 31 Ogos ini. – MalaysiaGazette
















