Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya hari ini.

AMPANG – Usaha membanteras rasuah tidak seharusnya dilihat menerusi kaca mata kaum atau politik kerana tindakan terhadap salah laku perlu dikenakan tanpa mengira latar belakang individu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat kecenderungan sesetengah pihak menafsirkan tindakan membanteras rasuah berdasarkan siapa dikenakan tindakan.

“Ada pihak cuba menggambarkan usaha membanteras rasuah sebagai tindakan terhadap kelompok atau pihak tertentu,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan sedemikian berbahaya kerana ia boleh mengalihkan perhatian daripada isu sebenar iaitu usaha memastikan tadbir urus negara bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Kalau kita lawan rasuah, cara dia ulas ikut cara pemikiran penduduk. Kita lawan isu pemasangan benda yang tak betul, pemikirannya juga berlawanan.

“Dia cuba membayangkan sedangkan menentang rasuah ini kita buat untuk semua,” katanya.

Amirudin juga berkata, tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan tidak wajar dikaitkan dengan kaum, agama atau kedudukan politik mereka.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tanpa mengira sama ada mereka terdiri daripada pemimpin, tokoh korporat atau individu biasa,” katanya.

Katanya, cubaan mengaitkan tindakan membanteras rasuah dengan permusuhan politik hanya akan menimbulkan persepsi serta kecurigaan dalam kalangan masyarakat.

“Ambil tindakan kepada mereka. Ada mereka yang jadi pemimpin kata, `oh ini sebab dia musuh’,” katanya.

Amirudin turut mengingatkan pihak yang mahu menjadi pemimpin supaya tidak menggunakan isu perkauman atau sentimen agama bagi memburukkan pihak lain kerana ia boleh merosakkan negara.

“Agenda membanteras rasuah sepatutnya menjadi usaha bersama kerana kesannya melibatkan seluruh rakyat dan bukan sesuatu kelompok sahaja,” katanya.

Katanya lagi, negara tidak akan dapat berkembang dengan baik sekiranya rakyat terus dipisahkan berdasarkan kaum, agama atau fahaman politik dalam menangani isu yang sepatutnya dilihat secara objektif.

“Kerajaan kita buat untuk semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here