KUALA LUMPUR – “Dalam hati 70 peratus masih berharap tapi 30 peratus lagi saya sudah reda dengan sebarang kemungkinan, kita sebagai orang Islam percaya pada ketentuan-Nya”.
Itu luahan Jamaliah Tengku Ismail, 67, isteri kepada salah seorang rakyat Malaysia, Muhammad Nasir Abdul Talib, 68, dipercayai hilang dalam tragedi banjir kilat di sempadan Nepal-China pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak itu percaya suaminya bersama kumpulan anggota bomba yang berpengalaman sempat menyelamatkan diri di kawasan yang tinggi sebelum dihanyutkan arus deras.
“Kali terakhir saya terima panggilan daripada suami ketika dia dalam perjalanan dan lokasi terakhir yang dapat dikesan di Yala Cafe kira-kira 7 pagi waktu Nepal dan dia sempat menghubungi saya tapi ketika itu saya tidak sempat menjawab panggilannya selepas itu, tiada lagi berita daripadanya.
“Saya percaya kumpulan itu bersama individu berpengalaman termasuk dua anggota bomba yang mempunyai kemahiran untuk bertahan dalam keadaan kecemasan.
“Jadi saya harap suami berada di tempat selamat,” katanya dalam sidang media Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) di Gombak di sini hari ini.

Katanya, Muhamad Nasir bersama rakannya, Jason Ngeow, 56, adalah antara sembilan rakyat Malaysia dalam Team Loe yang masih hilang dengan kumpulan itu diketuai Mohd Fakhrul Munir Mohd Iza yang dikenali sebagai Loe.
Jamaliah memberitahu, suaminya pertama kali menyertai kumpulan terbabit untuk melakukan aktiviti pendakian bertolak kira-kira 3.30 pagi dari hotel di Manang, Nepal menggunakan jip untuk menuju ke kawasan sempadan.
Ujarnya lagi, suaminya dan Jason serta dua lagi iaitu Mohd Fadzil Daros dan Azman Karim adalah rakan baik dan tinggal di taman perumahan yang sama dan merancang perjalanan berkenaan sejak kira-kira enam bulan lalu.
Dia juga berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) dapat disegerakan dengan memberi tumpuan kepada lokasi dipercayai paling berkemungkinan menjadi tempat kumpulan itu berada.

Sementara itu, kakak Jason, Ngeow Joanne, 59, berkata, kali terakhir dia melihat adiknya kira-kira dua minggu lalu dan terpaksa menyembunyikan berita kehilangan itu daripada ibu bapa mereka selama dua hari kerana bimbang keadaan mereka.
“Saya mahu dia selamat tetapi lebih-lebih lagi demi ibu bapa saya yang sudah berusia. Ayah saya berusia lebih 90 tahun manakala ibu saya dalam lingkungan 80-an. Mereka tidak mampu menerima berita seperti ini.
“Saya merahsiakannya daripada mereka selama dua hari tetapi semalam ayah mengetahuinya. Saya hanya memberitahu mereka bahawa komunikasi terputus dan setakat itu sahaja yang kami tahu,” katanya.

Joanne berkata, Jason merupakan ahli perniagaan dan sering melancong dan biasanya hanya memberikan maklumat ringkas kepada keluarga mengenai perjalanan yang dilakukannya.
Sembilan rakyat Malaysia dalam Team Loe yang masih hilang ialah Shabuddin Mun, Azman Karim, Mohd Fadzil Daros, Muhammad Haziq Ismail, Mohd Nohan Salim, Jason Ngeow, Muhammad Nasir Abdul Talib, Mohd Fakhrul Munir dan Mohd Sani.
Turut bersama kumpulan itu ialah Ganesh Neupane, warga Nepal yang bertindak sebagai pemandu pelancong.
Kumpulan berkenaan dijadual memasuki Kyirong pada 26 Ogos lalu sebelum meneruskan perjalanan dengan jadual keluar dari Lhasa ke Chongqing pada 2 September depan.

Dalam pada itu, Divya Varshini Krishnan, 29, masih mengharapkan keajaiban buat bapanya, V. Krishnan, 74, dari Sungai Siput, Perak yang turut hilang dalam tragedi berkenaan.
Katanya, bapanya begitu teruja sebelum memulakan perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash di Tibet yang sudah lama dirancang.
“Kali terakhir kami berhubung pada Isnin lalu. Dia telefon dan beritahu semuanya berjalan lancar, cuma penat dan akan ke sempadan keesokan harinya.
“Dia janji akan menghubungi kami selepas semuanya selesai tetapi keesokan harinya tiada panggilan,” katanya.
Ditanya mengenai harapannya, Divya tidak sanggup memikirkan kemungkinan buruk menimpa bapanya.
“Saya tidak mahu cakap apa-apa. Siapa tahu Tuhan memberikan keajaiban. Saya tidak mahu menyebut ‘perkataan’ itu kerana dia ayah saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tragedi Nepal: Keluarga 49 rakyat Malaysia desak kerajaan bantu misi SAR
















