KUALA LUMPUR – Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan pelumba CKJ Racing, Farres Putra Mohd Fadhil meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika perlumbaan kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu hari ini.
Menurut kenyataan MAM, insiden yang menimpa pelumba berusia 18 tahun itu berlaku di Selekoh 3 seawal pusingan pertama perlumbaan.
“Farres Putra menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan di litar sebelum dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Walaupun segala usaha terbaik dilakukan oleh pasukan perubatan yang merawatnya, beliau disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan MAM hari ini.
Persatuan itu turut meminta semua pihak menghormati privasi keluarga Allahyarham Farres Putra ketika melalui detik sukar berkenaan.
“MAM menyampaikan ucapan simpati kepada keluarga, rakan sepasukan, sahabat dan semua pihak yang terkesan dengan kehilangan tragis ini,” kata MAM. – MalaysiaGazette
















