Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat ke atas mayat suspek lelaki yang dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong pada Khamis lepas telah selesai dijalankan malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata proses bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur itu selesai pada 7 malam.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki berusia 48 tahun berkenaan ialah pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Pihak keluarga kini dalam urusan membawa pulang mayat untuk disemadikan,” menurutnya dalam satu kenyataan ringkas di sini.

Terdahulu, Fadil berkata bedah siasat ke atas isteri suspek berserta dua anak mereka yang ditemukan maut di dalam sebuah unit kediaman di kondominium berkenaan telah selesai dijalankan.

Beliau berkata hasil bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dan kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun itu semalam mendapati punca kematian mereka ialah luka tikaman di leher.

Sementara itu, bedah siasat terhadap isteri suspek yang berusia 47 tahun mendapati kematiannya disebabkan kesan trauma tajam pada leher dan dada.

Tragedi yang meragut nyawa empat beranak itu dipercayai berpunca daripada penglibatan isteri suspek yang terjerumus dengan love scam.

Perkara itu terbongkar selepas pihak polis menemukan sekeping nota ditinggalkan suspek yang meluahkan rasa kesal kerana terpaksa menanggung kerugian dan hutang mencecah RM260,000 akibat perbuatan isterinya. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here