Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Polis melancarkan Op Ambang Merdeka 2026 bermula hari ini hingga Selasa ini membabitkan seramai 1,529 pegawai dan anggota polis di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi itu bertujuan memperkasakan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh negeri.

Menurut beliau, pelaksanaan operasi itu juga bertujuan membanteras sebarang kegiatan jenayah, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan Hari Kebangsaan.

“Seramai 1,529 pegawai dan anggota digerakkan bagi melaksanakan penugasan secara berperingkat-peringkat dan bergilir di lokasi-lokasi strategik serta kawasan yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai.

“Jumlah kekuatan ini terdiri daripada 168 Pegawai Kanan Polis dan 1,361 Pegawai Rendah Polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kawalan utama operasi adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai, mencegah kejadian jenayah, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kelancaran lalu lintas.

Katanya, fokus penugasan pula diberi khususnya di kawasan sambutan Ambang Merdeka, pusat bandar, lokasi tumpuan awam, kawasan rekreasi, pusat beli-belah dan jalan-jalan utama.

“Kita turut memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, termasuk perlumbaan haram, aksi menunggang motosikal secara berbahaya, pemanduan secara melulu, penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol secara berlebihan serta pelanggaran peraturan lalu lintas,” katanya.

Ab Rahaman berkata, polis juga menasihatkan orang ramai supaya meraikan Ambang Merdeka secara tertib, berhemah dan bertanggungjawab, di samping mematuhi segala arahan keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa mengutamakan keselamatan dengan tidak memandu secara melulu atau agresif.

“Bagi orang ramai yang hadir ke lokasi sambutan, diminta untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga, mengawasi anak-anak serta tidak membawa sebarang barangan atau objek yang boleh mengancam keselamatan,” ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau mengganggu ketenteraman awam dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, Ab Rahaman mewakili polis Johor mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia dan menyeru masyarakat supaya bersama-sama menzahirkan semangat patriotisme dengan meraikan kemerdekaan dalam suasana aman, selamat, tertib dan harmoni. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here