ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini disifatkan berada pada prestasi terbaik dan semakin digeruni apabila mempunyai rekod cemerlang meledak 19 gol tanpa bolos hanya dalam tiga perlawanan Liga Super.
Ketua jurulatihnya, Xisco Munoz yang beranggapan demikian berkata, penyandang juara itu membuktikannya dalam perlawanan malam tadi apabila beraksi cemerlang dalam tempoh waktu yang singkat menerusi babak pertama.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu, kualiti permainan yang ditunjukkan skuad Harimau Selatan terutamanya kawalan perlawanan pada 45 minit pertama ketika mereka menjaringkan lima gol adalah acuan sebenar corak permainan yang mahu diterapkannya sepanjang musim ini.
Menurut Munoz, mengekalkan gawang daripada dibolosi (clean sheet) adalah keutamaan paling penting kerana kejayaan sesebuah pasukan dibina atas kestabilan di benteng pertahanan serta ketajaman di jentera serangan.
“Pada separuh masa pertama, pemain memberikan persembahan yang sangat cemerlang, itu adalah corak permainan sebenar yang kami mahu tampilkan. Kami mengawal perlawanan sepenuhnya dan mencipta beberapa situasi penting.
“Pada babak kedua, aksi kedua-dua pasukan tampak lebih seimbang, yang penting pemain berjaya memastikan gawang tidak dibolosi.
“Ada beberapa aspek yang masih boleh kami perbaiki, namun secara keseluruhannya kami berada di landasan yang betul,” katanya dalam sidang akhbar, malam tadi.
Pada perlawanan berkenaan, Bergson Da Silva muncul wira pasukan setelah meledak hatrik ketika membantu JDT membelasah Star City FC 7-0.
Menurut Munoz, walaupun mempunyai dua penyerang berbisa, beliau tidak mampu untuk meneruskan Bergson dan Shahab Zahedi dalam setiap perlawanan lebih-lebih lagi ketika berdepan jadual yang padat.
Beliau terpaksa membuat penggiliran pemain sebagai langkah taktikal jangka panjang sekali gus memberi ruang kepada pemain penyerang lain untuk mendapatkan minit permainan di atas padang.
“Pada perlawanan lalu Zahedi meledak empat gol dan malam ini giliran Bergson mencipta hatrik. Dengan jadual perlawanan yang padat, pengurusan masa bermain amat kritikal bagi memastikan kecergasan pemain sentiasa berada pada tahap optimum serta mengelakkan risiko kecederaan.
“Kami mempunyai ramai penyerang dan pemain berkualiti. Penyokong perlu faham bahawa mereka adalah manusia biasa dan tidak boleh beraksi setiap dua hari tanpa rehat,” ujarnya.
Xisco turut memuji sikap positif yang ditunjukkan barisan pemain baharu seperti Matias Nahuel dan Kevin Medina yang cepat menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan dan boleh menjadi watak penting dalam Kejohanan peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















