PASIR GUDANG – Seorang duda berusia 40-an dicekup berkhalwat dengan seorang gadis berusia 18 tahun dalam sebuah rumah kedai di sini, semalam.
Operasi cegah maksiat itu dilakukan selepas pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima aduan awam sebelum melakukan serbuan pukul 2.15 pagi.
Menurut JAINJ, rumah kedai tersebut adalah tiga tingkat dan pengadu memaklumkan ada bilik-bilik sewa di tingkat dua sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Apabila penguat kuasa JAINJ tiba di tingkat dua didapati tidak berkunci dan keadaan itu dilihat memudahkan ramai penghuni keluar masuk.
“Penguat kuasa ketuk pintu dan memanggil dengan kuat tetapi tidak disahut. Pintu dibuka 8 minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar jean dan tshirt.
“Keadaan dalam bilik gelap dan meminta lelaki itu buka semua suiz api. Penguat kuasa melihat seorang wanita yang baring atas katil bujang dengan memakai seluar pendek senteng paras peha dan t-shirt ketat,” menurut kenyataan itu.
Penguat kuasa juga melihat seorang kanak-kanak lelaki sedang tidur di bawah beralaskan selimut tebal dan ada bantal.
“Kesemua mereka terjaga melihat penguat kuasa ada dalam bilik. Semuanya kelihatan baru bangun tidur dan pucat kerana takutkan penguat kuasa,” kata JAINJ dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat, lelaki berkenaan mengaku hanya berdua-duaan dengan wanita itu, manakala kanak-kanak berusia sembilan tahun berkenaan merupakan anak kepada lelaki terbabit.
Siasatan mendapati lelaki tersebut berstatus duda yang mempunyai dua anak dan bekerja di daerah ini, manakala wanita pula masih beum berkahwin serta tidak bekerja.
“Alih-alih kanak-kanak itu memanggil bapanya gelaran ‘papa’ dan memanggil wanita itu gelaran ‘mama’. Disebabkan kekeliruan itu, penguat kuasa tanya sekali lagi, adakah mereka sudah bernikah.
“Mereka jawab bakal bernikah tidak lama lagi, maknanya belum bernikah dan layak ditangkap khalwat bawah Seksyen 27,” katanya.
JAINJ memberitahu, lelaki berkenaan bercerai dan anak seorang lagi dijaga oleh bekas isterinya sementara wanita itu pula duduk dengan keluarga dan rumahnya sekitar 15 kilometer dari bilik berkenaan.
Jelas JAINJ, menurut pengadu, bilik tersebut disewa lelaki itu bersama-sama anaknya dan wanita itu sering datang antara dua ke tiga kali dalam tempoh seminggu.
“Apabila ditanya, kenapa wanita datang ke situ, katanya untuk tolong kemas rumah.”
Pasangan itu ditangkap khalwat Seksyen 27 kerana berdua-duaan dalam bilik atau tempat tertutup dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.- MalaysiaGazette
















