Gambar ihsan Kerajaan negeri Pahang

KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyita tiga buah lori treler disyaki membawa bahan mineral bijih besi keluar dari kawasan perlombongan tanpa kebenaran di kawasan Sungai Batu, Mukim Batu Talam, Raub semalam.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tiga pemandu lori terbabit turut ditahan bagi siasatan lanjut.

“Semakan mendapati, pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) dari kelulusan kawasan lain bagi tujuan pengangkutan bahan mineral.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi stockpile bahan mineral yang ditunjukkan oleh pemandu berada di luar kawasan perlombongan yang dibenarkan seperti yang dinyatakan dalam dokumen dikemukakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak penguat kuasa turut mendapati lokasi stockpile tersebut berada di kawasan yang mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan ketiga-tiga pemandu gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan yang sah berkaitan lokasi berkenaan.

Susulan itu, pihak penguat kuasa telah menahan tiga orang pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan serta menyita tiga buah lori treler yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan bahan mineral tersebut.

“Selain itu, pihak penguat kuasa turut merampas tiga keping Borang 13D dan mengambil dua sampel bahan mineral yang disyaki bijih besi bagi tujuan penyiasatan untuk pendakwaan.

“Tindakan sitaan dan tangkapan telah dibuat di bawah Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kesalahan berkaitan maklumat dan kemungkiran terma atau syarat sedang disiasat di bawah Seksyen 159 dan Seksyen 165 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001,” tambahnya.

Wan Rosdy memaklukan, ketiga-tiga individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis manakala ketiga-tiga kenderaan yang disita telah dibawa ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh.

“Saya telah mengarahkan supaya kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap syarat dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.

Kerajaan negeri, katanya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan.

Wan Rosdy menegaskan, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk melalui penggunaan teknologi pemantauan dan risikan bagi memastikan hasil bumi negeri diurus secara teratur, bertanggungjawab dan mengikut peruntukan undang- undang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here