Zulkifli menyerahkan watikah pelantikan kepada160 Ketua Bahagian (Penaja) Wawasan seluruh negara di Kuala Lumpur.

JOHOR BAHRU – Seramai 160 Ketua Bahagian (Penaja) Parti Wawasan Negara (Wawasan) di seluruh negara menerima watikah pelantikan masing-masing kelmarin.

Ahli Majlis Tertinggi Wawasan, Datuk Zulkifli Bujang berkata, pelantikan tersebut merupakan amanah kepada setiap bahagian untuk memperkukuh keahlian dan membina cawangan berdasarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Jelas beliau, pelantikan itu yang berlangsung di Kuala Lumpur bertujuan memantapkan parti dan merupakan persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Katanya yang juga Penyelaras Majlis Perhubungan Negeri Johor, di negeri ini seramai 22 Ketua Bahagian (Penaja) daripada keseluruhan 26 bahagian sudah menerimanya.

“Empat bahagian selebihnya kini berada pada peringkat penilaian akhir. Watikah pelantikan dijangka diserahkan kepada mereka dalam masa terdekat selepas proses penelitian diselesaikan.

“Ini bagi memastikan individu yang dipilih mempunyai kesediaan, kewibawaan dan keupayaan untuk membina organisasi yang kukuh di kawasan masing-masing.

“Ini merupakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk memperluas keahlian, membentuk cawangan, memperkemas jentera dan mendekati masyarakat secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan ketetapan parti, setiap bahagian akan digerakkan untuk mencapai sasaran minimum 1,000 ahli serta menubuhkan cawangan berdasarkan jumlah PDM di kawasan Parlimen masing-masing.

Jelasnya, pelaksanaan tersebut penting bagi membentuk organisasi yang tersusun, inklusif dan benar-benar bersedia menghadapi PRU-16.

Katanya, Wawasan Johor mahu memastikan kekuatan parti tidak hanya kelihatan pada struktur kepimpinan tetapi dapat dibuktikan melalui sokongan akar umbi, khidmat kepada masyarakat dan keupayaan memahami serta memperjuangkan isu rakyat.

“Sehubungan itu, saya mempelawa seluruh Bangsa Johor yang berminat untuk mengenali Parti Wawasan Negara dengan lebih dekat agar menghubungi Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) di kawasan masing-masing.

“Pintu Wawasan Negara sentiasa terbuka kepada rakyat pelbagai kaum, agama, latar belakang profesional dan lapisan masyarakat yang mahu bersama-sama membina sebuah negara yang lebih harmoni serta bersatu dalam sebuah konsensus nasional,” katanya.

Wawasan Johor katanya, akan terus bekerja secara tersusun bagi memastikan setiap bahagian berfungsi sebagai pusat gerak kerja rakyat, bukan sekadar organisasi yang diwujudkan untuk menghadapi pilihan raya.-  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here