JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mempersoalkan pendirian Pas yang tidak mengambil tindakan atau memberikan teguran tegas terhadap kenyataan kontroversi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sekiranya Pas mahu dilihat sebagai sebuah parti yang membawa nilai dan prinsip Islam, maka pemimpinnya juga perlu ditegur apabila melampaui batas dalam pertuturan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu menegaskan bahawa budaya mencaci, memaki dan mencetuskan kontroversi bukan ukuran keberanian seseorang pemimpin.
“Keberanian sebenar ialah mampu berbeza pandangan dengan hujah, fakta dan adab, tanpa menghasut kebencian dalam kalangan rakyat.
“Justeru Amanah Johor menyeru seluruh pemimpin politik supaya mengembalikan politik negara kepada budaya yang lebih matang dan berakhlak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat tidak memerlukan pemimpin yang berlumba-lumba mengeluarkan kata-kata kesat, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan masyarakat dan menyelesaikan masalah rakyat.
Pemimpin politik katanya, mempunyai tanggungjawab untuk memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.
Katanya, kritikan terhadap kerajaan boleh dilakukan dengan tegas, namun garis batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap sesama manusia tidak seharusnya diketepikan hanya kerana perbezaan fahaman politik.
Dalam masa sama, katanya, Amanah Johor menzahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Muhammad Sanusi itu yang menggunakan bahasa kesat dan makian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan bahasa yang keterlaluan.
“Amanah Johor berpandangan bahawa tindakan sedemikian langsung tidak mencerminkan akhlak dan adab yang sewajarnya dimiliki oleh seorang pemimpin, lebih-lebih lagi apabila beliau daripada sebuah parti yang membawa identiti Islam.
“Amanah Johor juga menyangkal dakwaan Muhammad Sanusi yang menuding seolah-olah Kerajaan Madani di bawah pentabdiran Anwar yang memulakan judi sedangkan lesen judi sudah wujud sejak dari zaman Malaysia Merdeka, kenapa PMX yang dipersalahkan,” soalnya.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000, selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merayu.
Susulan itu Muhammad Sanusi didakwa menyalahkan Perdana Menteri berhubung keputusan mahkamah mengenai lesen premis perjudian di negeri itu. – MalaysiaGazette
















