Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap ketika ditemui wartawan pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Peningkatan peruntukan daripada RM650 juta kepada RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam dijangka memudahkan petugas perubatan mendapatkan maklumat pesakit tanpa lagi bergantung sepenuhnya kepada dokumen fizikal.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan itu antara lain membabitkan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) serta penyediaan sambungan internet di hospital dan klinik kesihatan awam.

Pelaksanaan EMR yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kini dilaksanakan secara rintis di beberapa klinik kesihatan besar.

“Doktor kini boleh mendapatkan maklumat mengenai pesakit tanpa merujuk dokumen fizikal. Jadi semuanya diusahakan secara elektronik dan ini menjimatkan masa bagi mereka yang menggunakan rawatan.

“Kita akan perluaskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Fahmi berkata, pada peringkat awal, pelaksanaan berkenaan dijangka membabitkan 15 hospital namun beliau mahu jumlah itu ditingkatkan bagi mempercepat pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, kerajaan juga akan memperluas kemudahan internet di lebih 2,000 klinik kesihatan awam bagi memastikan akses digital dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun turut diberi peluang menyertai Program AI untuk Rakyat dan menikmati langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, maklumat terperinci mengenai pelaksanaan program berkenaan akan diumumkan Kementerian Digital.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2026 hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera membabitkan pelbagai golongan termasuk pelajar, anak muda serta peniaga kecil dan sederhana.

Program AI untuk Rakyat antara lain dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun secara percuma selama tiga bulan membabitkan IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.

Selain itu, Anwar mengumumkan tambahan kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion serta memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam dan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here