KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Pahang Darul Makmur.
Menerusi kenyataan di laman media rasmi Kesultanan Pahang, baginda berdua menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dikecapi rakyat sepanjang 69 tahun kemerdekaan.
“Baginda berdua bertitah, kemerdekaan dan kedaulatan negara merupakan amanah besar yang perlu dipelihara bersama, manakala perpaduan, sikap saling menghormati dan toleransi menjadi asas kepada keharmonian serta kestabilan negara,” katanya.
Baginda berdua turut menyeru seluruh rakyat supaya terus menyemarakkan semangat patriotisme serta menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian sebagai landasan memperkukuh perpaduan dan jati diri rakyat.
Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar generasi muda sentiasa menghayati sejarah perjuangan negara serta memainkan peranan dalam memelihara warisan, budaya dan keharmonian masyarakat.
“Baginda berdua mendoakan agar Pahang Darul Makmur terus berada di bawah lindungan serta rahmat Allah SWT, dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan berpanjangan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















