KUALA LUMPUR – Rakyat berhak mempersoalkan sama ada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) benar-benar berteraskan kepentingan rakyat.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah mempersoalkan sama ada kerjasama itu akan turut sekadar memberi manfaat kepada pihak tertentu yang berdepan pelbagai kepentingan dan tekanan politik.
Jelasnya lagi, BN dan PN tidak boleh mengharapkan rakyat menerima sesuatu naratif tanpa menjawab persoalan yang telah dibangkitkan.
Menurutnya, atas nama ketelusan, setiap kerjasama politik perlu mempunyai asas yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Dalam masa yang sama, PN juga perlu menjawab persoalan yang lebih besar.
“Apakah tawaran mereka kepada rakyat untuk membawa negara ke hadapan selain terus memainkan sentimen dan membahagikan masyarakat kepada kelompok ‘kami’ dan ‘mereka’?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Shafiq berkata, politik yang sentiasa mencari musuh mungkin mampu menggerakkan emosi penyokong, namun ia tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, rakyat kini berdepan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi, pendidikan dan masa depan generasi muda yang memerlukan kepimpinan mampu mentadbir serta menawarkan penyelesaian.
Jelasnya, orang Melayu juga tidak seharusnya terus dijadikan modal politik setiap kali negara berhadapan pilihan raya.
“Orang Melayu, seperti seluruh rakyat Malaysia, mahukan kehidupan yang lebih baik, peluang ekonomi yang lebih luas, pendidikan berkualiti dan masa depan yang lebih terjamin.
“Rakyat tidak dikhianati kerana parti politik memilih untuk berbincang atau bekerjasama. Rakyat dikhianati apabila kepentingan mereka diketepikan demi percaturan politik yang tidak membawa penyelesaian kepada kehidupan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Pakatan Harapan (PH) percaya persaingan politik dan kematangan politik boleh berjalan seiring.
Katanya, parti politik boleh bersaing dalam pilihan raya dan mempertahankan prinsip masing-masing, namun pada masa sama perlu bersedia berbincang serta mencari titik persamaan apabila kepentingan rakyat dan kestabilan negara memerlukannya.
“PH tidak akan menolak kerjasama hanya kerana sentimen politik. Namun, PH juga tidak akan menerima sebarang kerjasama tanpa asas, prinsip dan kejelasan yang boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Akhirnya, rakyat Melaka akan menilai setiap parti berdasarkan pendirian, rekod dan keupayaan mereka untuk membawa negeri ini ke hadapan.
“BN dan PN perlu menjawab persoalan rakyat mengenai asas dan hala tuju politik mereka. PH pula akan terus menawarkan pendekatan yang berprinsip, terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















