Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan perkembangan mengenai dua pendaki dari negeri itu yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Langtang Valley, Nepal, Rabu lalu.

Dua pendaki berkenaan ialah Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dari Gelugor dan Muhammad Zaki Othman, 29, dari Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, maklumat berkenaan akan diteliti bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri kepada keluarga terbabit.

“Selepas ini kita akan cuba mendapatkan maklumat dan akan berhubung dengan ICU Pulau Pinang untuk melihat bagaimana kita boleh bantu dua pendaki berkenaan yang merupakan jurutera yang berkhidmat di ICU Jabatan Perdana Menteri di Pejabat Daerah Jawi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini hari ini.

Sebelum ini, ahli keluarga dan rakan kepada tiga pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet Rabu lalu terus menaruh harapan agar mereka ditemukan selamat.

Media semalam melaporkan kerjaaan memutuskan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir dahsyat yang melanda negara itu pada Rabu lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Luar dipertanggungjawabkan menyelaras dengan Kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan itu digerakkan secepat mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here