GEORGE TOWN – Keadaan berjerebu tidak menghalang kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Jalan Padang Kota di sini bagi menyaksikan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan ke-69 Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini.
Seawal kira-kira jam 5 pagi, orang ramai mula hadir bersama keluarga untuk menyaksikan acara berkenaan yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah hadir menyaksikan perarakan tersebut dengan diiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Perbarisan tahun ini membabitkan 125 kontinjen pejalan kaki dengan penyertaan 9,152 peserta, manakala 29 kontinjen lagi mengambil bahagian membabitkan 676 kenderaan.
Antara yang menyertai perbarisan ialah agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pasukan keselamatan serta beruniform, pertubuhan dan komuniti selain institusi pendidikan.
Acara turut diserikan dengan lintas udara pesawat PC-7 Mk II dari Institut Penerbangan 1, Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah serta dua helikopter EC120 Colibri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri lega apabila sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri kali ini berlangsung lancar meskipun keadaan jerebu masih berlaku.
Katanya, sambutan luar biasa daripada orang ramai menunjukkan mereka tetap bersemangat untuk bersama-sama memeriahkan acara berkenaan.
“Jawatankuasa penganjur bersama kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa sehingga sambutan selesai.
“Semoga sambutan seperti ini dapat terus memupuk semangat perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan satu hati untuk membangunkan negeri Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette
















