IPOH – Perpaduan sosial perlu terus dipelihara kerana kekuatan ikatan antara rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang merupakan antara jaminan keselamatan yang paling berkekalan buat sesebuah negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keamanan negara bukan hanya bergantung kepada kedaulatan sempadan atau penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya turut dipengaruhi hubungan yang kukuh dalam kalangan rakyat.
Katanya, ikatan tersebut perlu dipupuk secara berterusan menerusi cara masyarakat berinteraksi, mengurus perbezaan dan menghormati antara satu sama lain yang menjadi asas kehidupan bersama.

“Selepas 69 tahun negara merdeka, cabaran kita bukan lagi untuk membuktikan bahawa masyarakat yang berbeza boleh hidup dalam sebuah negara yang sama.
“Cabaran kita adalah untuk memastikan perbezaan itu tidak pernah menghalang kita daripada terus berdiri sebagai satu negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Jamuan Dan Penyampaian Hadiah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Bandaran Ipoh, pada Isnin.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis selepas Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri selesai diadakan.
Berangkat sama, Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Saarani berkata, sejak awal lagi Malaysia dibina daripada masyarakat yang mempunyai pelbagai perbezaan, namun memilih untuk hidup dalam negara yang sama.
Kata beliau, kebersamaan itu tidak terbina dalam tempoh singkat dan tidak akan kekal dengan sendirinya tanpa usaha berterusan daripada setiap lapisan masyarakat.
“Kita berdiri di bawah Jalur Gemilang yang sama. Kita menjunjung Perlembagaan yang sama. Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan yang menghubungkan kita, manakala institusi Raja terus menjadi payung yang menaungi seluruh rakyat.
“Namun kebersamaan sebagai rakyat Malaysia bukan hanya dapat dilihat melalui lambang dan institusi. Ia sebenarnya hidup dalam perkara-perkara kecil yang kita lakukan setiap hari,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan agar masyarakat tidak mengambil mudah keharmonian yang telah dikecapi kerana ia boleh terhakis apabila seseorang mula melihat perbezaan kaum, agama atau kelompok melebihi nilai kemanusiaan.
“Dan apabila jarak itu semakin melebar, perkara yang selama ini menyatukan kita akan perlahan-lahan menjadi kabur dan sukar dilihat.
“Sebab itulah pemandangan yang kita saksikan pada pagi ini membawa makna yang lebih besar daripada sebuah perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan. Tentunya kita mahu semangat seperti itu terus hidup, bukan hanya pada tanggal 31 Ogos,” ujarnya lagi.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyantuni 11 wira negara yang terdiri daripada bekas anggota keselamatan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Perak.
Baginda menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan kepada setiap seorang penerima yang terdiri daripada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah wang tunai kepada pemenang bagi beberapa kategori sempena Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri dan Kontinjen Perbarisan Sambutan Bulan Kebangsaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin rai Sambutan Hari Kebangsaan Perak bersama 50,000 rakyat
















