KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 31 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi dekat sini lewat petang semalam.
Nahas tersebut mengorbankan Taha Nordin yang berusia 54 tahun, bekerja sendiri dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pukul 6.25 petang.
“Kemalangan tersebut melibatkan motosikal mangsa dengan kereta Perodua Viva dipandu seorang lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun dan kenderaan Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun.
“Siasatan mendapati Toyota Alphard dan Viva dalam perjalanan ke Penawar. Toyota Alphard kemudian hilang kawalan dan melanggar belakang Perodua Viva.
“Viva pula terbabas masuk jalan bertentangan lalu melanggar motosikal dari arah Penawar ke Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai. perubatan bertugas.
Katanya, pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan pada bahagian dada manakala pemandu Toyota Alphard tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat ujar Othman, dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM 20,000 hingga RM50,000.
Jelasnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh tampil menyalurkan maklumat di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau mana-mana balai berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















