SHAH ALAM – Lebih ramai anak muda desa perlu menceburi bidang bernilai tinggi bagi melahirkan tenaga mahir yang benar-benar diperlukan industri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kerajaan tidak mahu sekadar melahirkan graduan yang mencari pekerjaan, sebaliknya berjaya melahirkan tenaga mahir berkompetensi tinggi sehingga menjadi rebutan industri.
“Kita tidak mahu sekadar melahirkan graduan yang mencari pekerjaan. Kita mahu melahirkan tenaga mahir yang mempunyai kompetensi sehingga industri sendiri mencari mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Belia Desa 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, perubahan pesat dunia menerusi perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi menyebabkan kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan belia kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
Jelas Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, golongan muda perlu dilengkapi kemahiran praktikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta kebolehan mencipta nilai supaya mampu bersaing dalam ekonomi masa depan.
“Anak muda mesti ada kemahiran yang boleh digunakan, kemampuan menyelesaikan masalah dan keupayaan mencipta nilai. Sebab itu saya selalu percaya bahawa skills are the new currency in today’s economy,” katanya.
Dalam masa yang Sama Ahmad Zahid berkata, belia desa juga tidak seharusnya takut untuk keluar mencari peluang pendidikan dan pekerjaan di luar kawasan asal bagi memperkukuh kemahiran, pengalaman serta jaringan mereka.
Katanya lagi, pengalaman yang diperoleh di bandar mahupun luar negara boleh dimanfaatkan untuk membantu membangunkan komuniti desa apabila mereka mencapai kejayaan.
“Kalau saudara menjadi jurutera, kongsikan kepakaran. Kalau menjadi usahawan, bukakan pasaran kepada pengusaha di tempat asal.
“Kalau sudah berjaya dalam industri, bantu anak muda lain mendapatkan peluang dan jaringan,” katanya. -MalaysiaGazette
















