Ab Rahaman ketika meninjau keadaan bot yang terlibat kemalangan di akhbar di Jeti Kampung Pengkalan Batu, Mersing hari ini.

MERSING – Pihak polis menjalankan siasatan melibatkan permit dan lesen dua bot penumpang yang bertembung di Kuala Sungai Mersing di sini malam tadi, sehingga mengorbankan dua mangsa manakala tujuh lagi cedera.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya juga sedang meneliti sama ada pengendali bot mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan semasa kejadian.

“Polis belum dapat mengesahkan secara rasmi sama ada kedua-dua bot terbabit mempunyai permit atau lesen sah untuk membawa penumpang.

“Perkara ini masih terlalu awal dan kita perlu memberikan ruang kepada pihak penyiasat untuk melengkapkan siasatan.

Dua maut dalam kejadian dua bot berlanggar di Kuala Sungai Mersing, malam tadi

“Kita sedang melihat semua aspek, termasuk sama ada SOP dan peraturan yang ditetapkan melalui syarat lesen dipatuhi ataupun tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Kampung Pengkalan Batu di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Lee Wei Chung yang berusia 32 tahun yang beralamat di Taman Bukit Indah, Johor Bahru dan Mohamad Sohaizi Mohd Sanin berusia 38 tahun beralamat di Kampung Nelayan di sini maut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 8.15 malam apabila bot Sea Queen membawa enam individu bertembung dengan bot Rawa Birds yang dinaiki tiga individu di Kuala Sungai Mersing, kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing.

Jelasnya, pelanggaran itu mengorbankan pengendali Sea Queen, lelaki berusia 38 tahun serta seorang penumpang lelaki berusia 32 tahun.

Dua maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan bot dalam kejadian berhampiran Jeti Kastam Mersing, malam tadi

“Tujuh lagi mangsa cedera, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Mersing, Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru serta Hospital Pasir Gudang,” ujarnya.

Ab Rahaman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan perbuatan cuai atau gopoh.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara gopoh atau cuai, selain laporan mati mengejut (SDR).

Pada masa sama, katanya, polis akan mendapatkan kerjasama Jabatan Laut untuk menjalankan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kita akan mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat, pasukan penyelamat serta individu yang mula-mula tiba di tempat kejadian.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan Jabatan Kimia untuk membantu siasatan, termasuk mengesahkan impak kejadian,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan polis.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Dua maut, empat cedera selepas dua bot berlanggar berhampiran Jeti Kastam Mersing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here