BATU PAHAT – Seramai 350 pengumpul dan peminat kereta Mercedes-Benz klasik berhimpun serta memperagakan keunikan kenderaan masing-masing sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, semalam.
Program Himpunan Kereta Klasik Mercedes-Benz berlangsung di Padang Kawad Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di sini.
Presiden Kelab Mercedes Johor (KMJ), Samsul Khan Ahmad Khan berkata, himpunan yang julung jali diadakan itu berjaya menemukan pemilik kereta klasik Mercedes-Benz dari seluruh semenanjung.
“KMJ yang mempunyai rantaian pemilik kereta ini telah membawa kereta jens berkenaam yang dikeluarkan seawal tahun 1957 hingga tahun 80-an.
“Alhamdulilah, kami tidak menyangka bahawa terdapat ramai pemilik kereta klasik ini di seluruh negara dan yang paling penting boleh bergerak jauh seperti kereta keluaran terbaharu.
“Ada pemilik yang membawa sehingga empat buah kereta Mercedes-Benz klasik dan saya sendiri turut membawa sebuah model W120 model Ponton 180 D daripada 14 buah dalam simpanan saya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Samsul berkat, kejayaan menghimpunkan pemilik kereta klasik itu juga secara tidak langsung menguatkan perpaduan antara rakyat di negara ini apabila disertai pemilik daripada kalangan India dan Cina.
Melihat kepada sambutan yang diberikan, KMJ berhasrat menjadikannya sebagai acara tahunan kelab berkenaan dan dianjurkan secara lebih besar pada masa akan datang.
“Kita amat berharap, lebih ramai lagi pemilik kereta klasik ini dapat bersama-sama bertukar pendapat terutama berkaitan penjagaan kereta lama apabila ia dianjurkan lagi,” katanya.- MalaysiaGazette
















