Jacob Lee Chor Kok

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik enam langkah segera yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena amanat Hari Kebangsaan 2026, khususnya usaha mengurangkan tekanan kos terhadap perniagaan dan isi rumah menjelang Belanjawan 2027.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, langkah berkenaan mampu memberikan sokongan segera kepada perniagaan yang terus berdepan tekanan kos operasi, kekangan aliran tunai serta persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan kompetitif.

Katanya, walaupun beberapa inisiatif disasarkan kepada isi rumah dan masyarakat, langkah itu turut memberi kesan limpahan positif kepada sektor perniagaan dan ekonomi.

“FMM amat mengalu-alukan keputusan meningkatkan ambang jualan tahunan bagi pelaksanaan mandatori e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

“Langkah ini memberi kelegaan bermakna kepada perniagaan kecil dengan mengurangkan kos pematuhan, keperluan pentadbiran serta sumber yang diperlukan untuk melaksanakan dan menyelenggara sistem e-Invois,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, perdana menteri mengumumkan enam ikhtiar untuk rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027, termasuk mengembalikan had kelayakan BUDI MADANI kepada 300 dan 400 liter, menaikkan peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion serta menyediakan program kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada rakyat.

Langkah lain termasuk memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, menaikkan ambang e-Invois kepada RM3 juta serta menyediakan pembiayaan mikro dan Geran Sejahtera Madani untuk peniaga kecil.

Sehubungan itu, FMM menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi penjelasan awal sama ada syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta yang sudah melaksanakan e-Invois di bawah ambang terdahulu boleh menarik diri atau meneruskannya secara sukarela.

Selain itu, FMM menyambut baik tambahan RM1 bilion kemudahan pembiayaan mikro yang menjadikan jumlah peruntukan bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion, selain Geran Sejahtera Madani bernilai RM200 juta untuk peniaga kecil dan perusahaan mikro.

Menurut Jacob, kemudahan pembiayaan itu perlu disokong dengan prosedur permohonan yang mudah, terma pembiayaan berpatutan serta kelulusan dan penyaluran dana yang pantas, termasuk akses mencukupi kepada pengilang kecil dan perniagaan berkaitan sektor pembuatan.

FMM juga menyokong inisiatif memberi 100,000 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun akses kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) selepas melengkapkan modul ditetapkan.

Katanya, pendedahan lebih meluas kepada AI dapat membantu golongan muda memahami teknologi yang semakin banyak digunakan dalam sektor pembuatan dan industri lain.

“FMM juga menggalakkan kerajaan mengembangkan inisiatif ini dengan menghubungkan pendedahan AI kepada aplikasi dan kemahiran berkaitan industri seperti pembuatan pintar, analisis data, pengoptimuman proses, kejuruteraan, penyelenggaraan ramalan dan pengurusan rantaian bekalan,” katanya.

FMM turut mengalu-alukan peningkatan kelayakan bahan api bersubsidi di bawah BUDI95 dan BUDI Diesel, namun berpandangan para pengilang yang menggunakan bahan api secara langsung dalam proses pengeluaran tetapi tidak termasuk dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masih berdepan kos bahan api industri yang tinggi.

Sehubungan itu, FMM mengulangi cadangan supaya Belanjawan 2027 menyediakan pelepasan kos bahan api secara bersasar, khusus untuk pengguna industri yang layak, melalui mekanisme rebat khusus dan terhad berdasarkan rangka kerja lesen pembuatan sedia ada.

FMM juga menyambut baik peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh keupayaan digital sistem penjagaan kesihatan awam, termasuk rekod perubatan elektronik dan peningkatan kesalinghubungan, serta peningkatan perbelanjaan penyelenggaraan sekolah daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Menurut FMM, pelaburan berkenaan mampu membuka peluang kepada penyedia teknologi, penyepadu sistem dan industri berkaitan tempatan, selain memperkukuh ekosistem digital serta infrastruktur pendidikan negara.

Jacob berkata, FMM berharap Belanjawan 2027 dibina berasaskan enam inisiatif berkenaan melalui pakej lebih menyeluruh bagi meningkatkan daya saing perniagaan dan kapasiti produktif Malaysia.

Antara cadangan FMM termasuk mengekalkan daya saing cukai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mempercepat automasi, pendigitalan dan penggunaan AI, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor pembuatan serta menyediakan bantuan bersasar bagi kos tenaga dan bahan api industri.

FMM juga mencadangkan pengukuhan rantaian bekalan domestik dan penyetempatan, termasuk penubuhan Dana Daya Tahan Rantaian Bekalan Nasional bernilai RM100 juta, selain memperkukuh kemahiran tenaga kerja dan program perantisan.

Jacob berkata, pendekatan keseluruhan FMM bagi Belanjawan 2027 adalah memastikan lebih banyak modal kekal dalam perniagaan produktif, khususnya PKS, serta menggalakkan modal itu dilaburkan semula dalam teknologi, R&D, produktiviti, kemahiran, daya tahan rantaian bekalan dan pewujudan pekerjaan bergaji lebih baik.

“Peningkatan produktiviti dan daya saing perniagaan secara berterusan amat penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi lebih kukuh, pekerjaan bernilai tinggi, pelaburan lebih besar dan pendapatan lebih baik untuk rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here