Gen Z membesar dalam dunia digital dan kini memasuki alam pekerjaan ketika kecerdasan buatan sedang mengubah cara manusia bekerja.

Oleh: Dr Zurina Samsudin

“BUDAK sekarang tak macam kita dulu.”
Ungkapan ini sering kedengaran apabila generasi terdahulu berbicara tentang Gen Z yang baru memasuki alam pekerjaan. Mereka sering dilabel cepat bosan, tidak tahan tekanan, terlalu mementingkan work-life balance dan mudah bertukar pekerjaan.

Namun, mungkin kita perlu melihat perkara ini dari sudut yang berbeza. Gen Z bukan memasuki dunia pekerjaan yang sama seperti generasi terdahulu. Mereka membesar dalam dunia digital dan kini memasuki alam pekerjaan ketika kecerdasan buatan (AI) pula sedang mengubah cara manusia bekerja.

Setiap generasi dibentuk oleh zamannya
Bagi generasi terdahulu, pekerjaan sering dikaitkan dengan kestabilan dan kesetiaan. Bekerja dalam organisasi yang sama untuk tempoh yang panjang merupakan laluan biasa untuk membina kerjaya.

Generasi X pula menyaksikan kemunculan komputer dan globalisasi, manakala Millennials berada dalam fasa peralihan daripada dunia analog kepada dunia digital. Gen Z pula membesar dengan internet, media sosial dan telefon pintar sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.

Tidak menghairankan jika pandangan mereka terhadap pekerjaan turut berubah. Peluang kerja kini lebih terbuka, termasuk kerja jarak jauh, ekonomi gig dan pekerjaan digital.

Menukar pekerjaan juga tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa.  Masalahnya, perbezaan ini sering diterjemahkan sebagai perbezaan sikap.

AI mengubah permainan
Perubahan menjadi lebih besar apabila AI mula mengambil tempat dalam pelbagai tugasan pekerjaan. Jika sebelum ini teknologi membantu manusia bekerja dengan lebih pantas, AI kini mampu melaksanakan sebahagian tugas yang dilakukan oleh manusia.

Daripada menghasilkan kandungan dan menganalisis data kepada penyediaan laporan dan tugas pentadbiran, penggunaan AI semakin berkembang. TalentCorp menganggarkan kira-kira 620,000 pekerja dalam sektor yang dikaji berpotensi terkesan oleh perubahan teknologi dan ekonomi, di samping wujudnya keperluan terhadap kemahiran baharu.

Bagi Gen Z, perubahan ini berlaku ketika mereka baru sahaja membina kerjaya. Mereka bukan sahaja bersaing dengan graduan lain, tetapi perlu memastikan kemahiran yang dimiliki kekal relevan apabila teknologi terus berkembang. Ironinya, menjadi generasi yang celik teknologi tidak semestinya bermaksud paling bersedia menghadapi AI.

Jangan terlalu cepat melabel Gen Z
Dalam organisasi, perbezaan generasi kadangkala menghasilkan salah faham. Pengurus mungkin melihat pekerja muda yang enggan bekerja sehingga lewat malam sebagai kurang komited. Pekerja muda pula mungkin melihat tempoh bekerja yang panjang tidak semestinya menunjukkan produktiviti.

Kedua-duanya mempunyai perspektif yang dibentuk oleh pengalaman masing-masing.

Gen Z lebih terbuka kepada fleksibiliti, keseimbangan kehidupan dan pekerjaan serta peluang kerjaya yang lebih pelbagai. Namun, itu tidak bermaksud mereka boleh mengetepikan disiplin, tanggungjawab dan profesionalisme.

Pada masa yang sama, generasi terdahulu juga perlu menerima bahawa pengalaman dan cara kerja lama sahaja tidak mencukupi dalam persekitaran yang berubah dengan pantas.

Majikan dan universiti juga perlu berubah
Tanggungjawab menyesuaikan diri tidak seharusnya diletakkan kepada Gen Z sahaja. Organisasi perlu melihat kepelbagaian generasi sebagai kekuatan. Pekerja berpengalaman membawa pengetahuan industri dan organisasi, manakala pekerja muda mungkin lebih pantas menyesuaikan diri dengan teknologi dan perubahan pasaran.

Universiti pula perlu memastikan graduan bukan sekadar mempunyai pengetahuan akademik, tetapi juga kemahiran berfikir secara kritikal, berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan belajar secara berterusan. Literasi AI juga semakin penting. Namun, keupayaan menggunakan AI tidak boleh menggantikan keupayaan manusia untuk menilai maklumat, membuat keputusan dan memahami konteks.

Bukan soal siapa lebih baik
Perdebatan tentang generasi sering berakhir dengan persoalan siapa lebih rajin, lebih tahan atau lebih fleksibel. Sebenarnya, setiap generasi mempunyai kekuatan tersendiri. Gen Z boleh belajar daripada generasi terdahulu tentang disiplin, ketahanan dan tanggungjawab.

Generasi terdahulu pula boleh belajar daripada Gen Z tentang kepantasan menyesuaikan diri dengan teknologi dan keberanian mempersoalkan cara kerja yang tidak lagi relevan. Dalam dunia yang semakin dipengaruhi AI, masa depan pekerjaan tidak semestinya milik Gen Z.

Millennials atau mana-mana generasi tertentu
Ia lebih berkemungkinan menjadi milik mereka yang mampu terus belajar dan menyesuaikan diri. Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya mengapa Gen Z tidak bekerja seperti generasi terdahulu. Sebaliknya, kita perlu bertanya sama ada cara kita bekerja hari ini masih sesuai untuk dunia yang sedang berubah.

Kerana dunia pekerjaan sudah berubah. Dan kali ini, semua generasi perlu berubah bersamanya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Johor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here