MASJID TANAH – Lebih 3,000 penghantar makanan di Melaka bakal menikmati potongan harga sekurang-kurangnya 30 peratus bagi perkhidmatan servis motosikal menerusi inisiatif baharu Kerajaan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan inisiatif itu bakal menjadikan Melaka negeri pertama memperkenalkan kemudahan berkenaan khusus untuk membantu golongan penghantar makanan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas diperincikan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri esok.
Katanya, sekurang-kurangnya 28 bengkel motosikal, masing-masing mewakili 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, akan dipilih bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik bengkel servis motosikal dengan memberikan diskaun kepada penghantar makanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai 27 penghantar makanan dalam satu program di Pengkalan Balak di sini hari ini.
Pada program itu, Ab Rauf turut menyertai kumpulan berkenaan menghantar makanan ke beberapa rumah di sekitar Tanjung Bidara.
Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri kini sedang memperincikan kadar potongan harga servis motosikal yang akan diberikan kepada penghantar makanan.

Pada masa sama, kerajaan negeri sedang mengenal pasti bengkel motosikal yang layak untuk menyertai inisiatif tersebut.
“Inisiatif kerajaan negeri untuk golongan penghantar makanan ini bertujuan meringankan beban mereka dalam usaha menambah pendapatan bagi menyara keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette
















