Pasar terapung Khlong Hae di Hat Yai di Wilayah Songkhla, Thailand antara destinasi popular dengan pelancong khususnya dari Malaysia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette.

 

BANGKOK – Thailand akan mengurangkan separuh tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari lebih 60 negara dan wilayah kepada 30 hari, berkuat kuasa 15 September ini, menurut Kementerian Luar Thailand.

Pelancongan merupakan sektor penting kepada ekonomi negara Asia Tenggara itu, namun pihak berkuasa berkata langkah berkenaan adalah sebahagian usaha membendung jenayah membabitkan warga asing.

Beberapa siri tangkapan terbaharu melibatkan warga asing yang didakwa atas kesalahan berkaitan dadah, pemerdagangan seks serta mengendalikan perniagaan seperti hotel dan sekolah tanpa permit sewajarnya.

Di bawah skim pelancongan Thailand ketika ini, pelancong dari lebih 90 negara, termasuk 29 negara kawasan Schengen Eropah, China, India, Amerika Syarikat dan beberapa negara Amerika Selatan, layak memasuki Thailand sehingga 60 hari tanpa visa.

Jabatan Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar Thailand berkata, pengurangan tempoh kepada 30 hari tanpa visa itu akan membabitkan lebih 60 negara dan wilayah, termasuk China, Amerika Syarikat dan 27 negara Kesatuan Eropah (EU).

Status bebas visa bagi kira-kira 20 negara lain masih tidak jelas.

Pelawat dari Peru, Brazil dan Korea Selatan pula akan diberikan tempoh tinggal tanpa visa selama 90 hari, meningkat daripada 60 hari sebelum ini.

Pelancong dibenarkan melanjutkan tempoh tinggal sekali, tertakluk kepada budi bicara pegawai imigresen, kata seorang jurucakap kerajaan kepada AFP pada Mei lalu ketika Kabinet meluluskan langkah berkenaan.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow pada bulan sama berkata, rancangan memendekkan tempoh lawatan tanpa visa itu sebahagian daripada tindakan membanteras individu yang menyalahgunakan sistem visa dengan melakukan jenayah di negara berkenaan.

Menurut angka rasmi terkini, Thailand menerima 20.9 juta pelancong asing sejak awal tahun ini, susut tiga peratus berbanding tempoh sama pada 2025. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here