KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 33 syarikat bagi Musim Haji 1448H/2027M.
Menurutnya, PJH yang terpilih telah melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh sebelum 33 syarikat dikenal pasti memenuhi syarat kelayakan untuk diberikan lesen.
Jelas TH, penilaian tersebut mengambil kira pelbagai aspek termasuk kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman serta keupayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
Selain itu, TH turut melaksanakan semakan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan W akaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang menyempurnakan majlis serahan lessen PJH itu berkata, lesen yang diberikan bukan sekadar kelulusan untuk menawarkan pakej haji, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam mengurus perjalanan suci para tetamu Allah SWT.
“Setiap PJH perlu memastikan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan. Setiap janji yang diberikan kepada bakal jemaah hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan profesionalisme,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua PJH supaya memberikan maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, khususnya berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat yang lengkap.
“Persaingan dalam kalangan PJH perlu berasaskan peningkatan kualiti perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus yang baik tanpa menjejaskan kepercayaan serta kebajikan jemaah,” katanya sambil mengingatkan syarikat-syarikat terpilih itu mematuhi syarat-syarat lesen PJH yang ditetapkan oleh TH, mengemaskini maklumat di Sistem Agensi Haji bagi mengelakkan denda yang boleh menjejaskan pengeluaran lesen di masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kecemerlangan pengurusan haji Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk kejayaan menerima Anugerah Labaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi buat kali kedua berturut-turut, perlu terus dipertahankan dan dipertingkatkan.
“Pengiktirafan ini bukan alasan untuk kita berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk semua pihak terus memperbaiki kelemahan, meningkatkan standard dan mencari pendekatan baharu demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.
Zulkifli turut menekankan kepentingan penyediaan pakej haji yang lebih berpatutan dan kompetitif, termasuk pakej haji ekonomi, bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, usaha menawarkan pakej pada harga yang berpatutan tidak boleh mengorbankan aspek kualiti, keselamatan dan kebajikan jemaah.
Malah, semua pakej yang ditawarkan hendaklah jelas, telus dan memenuhi standard yang ditetapkan.
Beliau juga mengingatkan semua pihak mengenai keperluan untuk bersama-sama membanteras aktiviti penipuan pakej haji dan umrah yang boleh menyebabkan bakal jemaah mengalami kerugian.
Usaha tersebut, katanya, memerlukan kerjasama erat antara agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia, TH, MOTAC dan JAWHAR selain peranan PJH yang sah dan berlesen dalam menjaga nama baik industri pengelolaan haji negara. – MalaysiaGazette
















