JAKARTA – Rakyat Malaysia kekal sebagai kumpulan pelancong asing terbesar melawat Indonesia pada Julai 2026, menyumbang 15 peratus daripada 1.53 juta ketibaan yang direkodkan sepanjang bulan itu, menurut Badan Pusat Statistik (BPS).
Timbalan BPS bagi Statistik Pengagihan dan Perkhidmatan Ateng Hartono berkata, kira-kira 228,710 pelancong Malaysia melawat Indonesia pada Julai, mengatasi pelancong Australia sebanyak 188,250 atau 12.34 peratus, dan warga China sebanyak 156,750 atau 10.28 peratus.
“Secara bulanan, ketibaan pelancong asing dalam kalangan pemegang pasport Australia dan China mencatatkan peningkatan, manakala pemegang pasport Malaysia menunjukkan penurunan.
Bagaimanapun, bagi perbandingan tahun ke tahun ketibaan pelancong asing meningkat dalam kalangan pemegang pasport Malaysia, Australia, dan China,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung pada Selasa.
Data yang dibentangkan pada sidang media itu menunjukkan ketibaan pelancong Malaysia meningkat 7.83 peratus tahun ke tahun meskipun merosot 11.59 peratus berbanding Jun.
Ateng berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali merupakan pintu masuk utama bagi pelancong asing, menerima 697,800 ketibaan pada Julai yang didahului oleh pelancong Australia. – BERNAMA
















