KUANTAN – Simpanan hasil titik peluh seorang pesara Petronas berjumlah RM1.417 juta lesap selepas dia menjadi mangsa sindiket phone scam.
Mangsa yang berusia 66 tahun dipercayai terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 19 Mei lalu yang mendakwa dia terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Deputi Komisioner Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa kemudian diarahkan membuka akaun Agrobank dan memindahkan wang simpanannya ke akaun berkenaan kononnya bagi tujuan semakan pihak berkuasa.
“Selepas membuka akaun tersebut, seorang lelaki tempatan datang berjumpa mangsa di kawasan perumahannya sebelum mangsa menyerahkan kad ATM berserta nombor PIN kepada lelaki berkenaan.
“Kesemua wang daripada akaun KWSP, ASB dan Tabung Haji, selain hasil gadaian emas berjumlah RM1,417,210 dimasukkan ke akaun Agrobank tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan pada 1 September 2026, apabila mendapati wang berkenaan telah dipindahkan ke enam akaun berbeza selain terdapat pengeluaran wang melalui mesin ATM tanpa pengetahuannya.
Mangsa yang menyedari dirinya telah terpedaya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Azry menasihatkan orang ramai supaya tidak menurut sebarang arahan daripada individu tidak dikenali yang menghubungi mereka, khususnya berkaitan dakwaan jenayah atau akaun bank.
“Dapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang tindakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Orang awam juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – MalaysiaGazette
















