Dzulhilmi Zainol

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung siasatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, siasatan tidak seharusnya terhenti selepas penahanan bekas menteri sahaja, sebaliknya semua individu yang mempunyai kaitan dengan urusan dan keputusan yang sedang disiasat perlu dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Saya bukan mengatakan beliau bersalah. Tetapi kalau kita benar-benar mahu mencari kebenaran, semua nama yang terlibat harus dipanggil ke meja siasatan kerana pada tahun 2017, Asyraf Wajdi hadir dalam majlis memeterai perjanjian pajakan hotel antara Tabung Haji dan Al-Rawda.

“Beliau hadir atas kapasiti sebagai timbalan menteri dan Ketua Jemaah Haji Malaysia, mewakili menteri ketika itu. Jadi saya ingin bertanya, apa yang beliau tahu tentang urusan tersebut? Apa peranan beliau ketika itu?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi menghadapi permohonan reman SPRM bagi siasatan berkaitan laporan RCI TH.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman mengesahkan penahanan individu berkenaan semalam berkata,  kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dzul Hilmi turut mempersoalkan sama ada Asyraf Wajdi pernah terlibat dalam mana-mana proses atau keputusan berkaitan urusan tersebut, selain meminta beliau menjelaskan maklumat atau dokumen yang boleh membantu siasatan.

Katanya, jika Asyraf Wajdi tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku, tiada sebab untuk beliau takut dipanggil memberi keterangan.

“Pihak berkuasa boleh panggil, soal, dan ambil keterangan dan Asyraf Wajdi kena ambil peluang ini untuk membersihkan nama baik.

“Jika Asyraf Wajdi tidak disiasat maka, rakyat terus tertanya-tanya dan membuat kesimpulan sendiri. Apa yang saya tidak mahu ialah rakyat melihat orang yang tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan disiasat manakala yang berada di dalam pentadbiran dibiar dan didiamkan begitu sahaja seolah-olah tidak perlu disentuh,” katanya.

Dalam pada itu, Dzul Hilmi menegaskan undang-undang mesti dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kedudukan politik seseorang.

“Jangan kerana seseorang itu ada kedudukan politik, maka namanya tidak boleh disebut dan jangan pula kerana seseorang itu tidak berada dalam kelompok tertentu, maka dia lebih mudah dijadikan sasaran.

“Oleh itu, saya mendesak SPRM dan PDRM supaya menjalankan siasatan ini secara menyeluruh dan profesional tanpa ada pilih kasih serta jangan melindungi sesiapa,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa perlu membuka ruang kepada semua pihak yang berkaitan untuk memberikan penjelasan supaya persoalan rakyat mengenai pengurusan institusi yang diamanahkan dengan wang mereka tidak terus tergantung.

“Kalau tidak bersalah, lepaskan dan bersihkan nama. Tetapi jangan biarkan persoalan rakyat terus tergantung. Rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada institusi yang mereka amanahkan dengan wang dan harapan mereka.

“Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah. Saya tidak meminta sesiapa dihukum tanpa bukti. Saya cuma mahu pihak berkuasa siasat semua yang berkaitan.

“Jangan ada double standard dan jangan ada sesiapa yang dikecualikan hanya kerana mempunyai kedudukan politik. Kalau benar kita mahu mencari kebenaran, jangan takut untuk buka semua pintu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here