KUALA LUPUR – Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Ts. Mazli Mustaffa sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 September 2026.
Beliau akan menerajui syarikat dalam usaha memperkukuh kecemerlangan operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan serta menyokong agenda transformasi pengangkutan awam negara.
Mazli yang memiliki hampir 30 tahun pengalaman dalam industri rel dan kejuruteraan merangkumi Malaysia, Arab Saudi dan Bahrain telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan serta pembangunan pelbagai projek rel utama termasuk KL Sentral, Projek Landasan Berkembar Rawang–Ipoh, Projek Landasan Berkembar Ipoh–Padang Besar, Makkah Metro, Laluan Kajang, Laluan Putrajaya serta Kuching Urban Transportation System (KUTS).
Sebelum menyertai Rapid Rail, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn. Bhd. dan menerajui pembangunan sistem pengangkutan awam bandar pertama di Sarawak serta sistem pengangkutan awam hijau sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
“Pengalaman luas beliau dalam pembangunan infrastruktur rel, integrasi sistem dan pengurusan operasi dijangka membawa nilai tambah yang signifikan kepada usaha pengukuhan prestasi Rapid Rail,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, di bawah kepimpinan baharu ini, Rapid Rail akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi operasi, peningkatan kebolehpercayaan dan keselamatan perkhidmatan serta memperkasakan pengalaman pelanggan.
“Rapid Rail yakin kepimpinan, pengalaman dan kepakaran Ts. Mazli dalam sektor rel akan terus memperkukuh kedudukan syarikat sebagai pengendali rel bandar utama negara dan menyokong aspirasi Prasarana Malaysia Berhad dalam memperkasakan penggunaan pengangkutan awam serta memacu pembangunan mobiliti bandar yang lebih mampan untuk negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















