KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menganjurkan Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 bertemakan “Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur” pada 8 September ini di Kuantan.
Seminar yang menyasarkan penyertaan 300 peserta itu bertujuan memperkukuh ekosistem pelaburan serta memperkasakan syarikat tempatan dan bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu.
MIDA berkata, program tersebut akan menghimpunkan syarikat tempatan dan bumiputera, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi kerajaan bagi meneroka peluang pertumbuhan baharu dan membina hubungan strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, Wilayah Pantai Timur mempunyai asas ekonomi dan industri yang kukuh serta potensi besar berkembang sebagai koridor pelaburan yang lebih berdaya saing.
“Dengan peningkatan kesalinghubungan melalui ECRL, kekuatan sektor sedia ada serta peluang dalam sektor baharu dan bernilai tinggi, kita melihat ruang yang besar untuk syarikat tempatan dan bumiputera berkembang bersama pelaburan yang masuk ke rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, PKS dan syarikat tempatan perlu melihat perkembangan itu sebagai peluang untuk meningkatkan kapasiti, mengadaptasi teknologi, menjadi pembekal kepada industri lebih besar dan menembusi pasaran baharu.
“Seminar ini merupakan salah satu platform untuk membantu mereka memahami peluang tersebut dan menghubungkan mereka dengan pihak yang boleh membantu merealisasikannya,” tambahnya.
MIDA berkata, seminar itu turut memberi fokus kepada usaha menggalakkan syarikat sedia ada meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh keupayaan teknologi, meningkatkan produktiviti serta beralih kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.
Program itu akan menampilkan sesi mengenai Kerangka Insentif Baharu (NIF), Forum ECRL serta sesi “Dari Pantai Timur ke Persada Dunia” yang membincangkan peluang pelaburan, kesalinghubungan serantau dan laluan untuk syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.
Selain itu, Forum Penyertaan Ekonomi Bumiputera dan Sesi Ekosistem Halal turut diadakan dengan tumpuan kepada pengukuhan penyertaan syarikat tempatan serta pembangunan ekosistem halal dan keterjaminan makanan.
Sesi Business Clinics pula memberi peluang kepada syarikat berinteraksi secara langsung dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan agensi kerajaan berkaitan bagi mendapatkan panduan mengenai isu operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan dan pelaksanaan projek.
Oleh itu, MIDA menggalakkan peserta mendaftar seawal bagi mendapatkan maklumat terkini, membina rangkaian perniagaan, meneroka peluang pelaburan dan mendapatkan akses terus kepada agensi kerajaan melalui sesi Business Clinic.- MalaysiaGazette
















