Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram, ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes Janawibawa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak menerima notis alibi yang menafikan penglibatan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam acara golf yang turut disertai sekumpulan individu, enam tahun lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd. Zaini, 42, berkata, selain itu dokumen `Green Fee Tags’ daripada Tropicana Golf and Country Resort (TGCR) menunjukkan, Muhyiddin dan beberapa individu terlibat dalam permainan yang dijalankan pada 19 Julai 2020.

Alibi merupakan bukti atau keterangan bahawa seseorang tertuduh yang didakwa melakukan jenayah, berada di tempat lain ketika kejadian yang dikatakan berlaku.

Isu alibi itu ditimbulan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri ini yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.

Pada perbicaraan lalu, pertikaian mengenai kesahihan penyertaan Muhyiddin pada acara itu dibangkitkan oleh pasukan pembelaan ketika menyoal balas saksi pendakwaan ke-27, Datuk Seri Azman Yusoff.

Pada prosiding 27 Ogos lalu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mempersoal keterangan Azman yang pada awalnya menyatakan, acara tersebut dijalankan pada Mei 2020.

Menurut peguam, tarikh tersebut tidak munasabah kerana ketika itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19 yang tidak memungkinkan sebarang kejohanan sukan diadakan.

Sementara itu, Mazery dalam keterangannya berkata, kerajaan mengeluarkan arahan PKP Bersyarat sekitar Julai 2020 iaitu fasa kelonggaran yang membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dibuka semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Semasa PKPB aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan besar, sentuhan badan dan risiko jangkitan lain tidak dibenarkan dan ini termasuk semua acara sukan dalaman dan stadium.

“Bagaimanapun, kegiatan sukan luar yang tidak melibatkan sentuhan badan dengan kumpulan kecil tanpa penonton dan tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat penjarakan sosial
dilakukan.

“Oleh yang demikian, saya menyatakan, permainan golf fizikal memang berlaku pada tarikh tersebut (19 Julai 2020),” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Wan Shaharuddin, Mazery berkata, Azman merupakan suspek ketika siasatan kes Janawibawa atas kesalahan memberi wang kepada Bersatu.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, Azman didapati menyalurkan wang kepada parti itu atas permintaan Muhyiddin sebagai balasan syarikatnya (KCJ Engineering) mendapat projek Janawibawa.

“Siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri kerana beliau mengarahkan Menteri Kewangan (ketika itu) untuk menguruskan permohonan syarikat tersebut.

“Namun demikian, Azman dijadikan saksi dalam kes tersebut kerana tindakan yang diambilnya adalah atas permintaan Tan Sri Muhyiddin,” ujar Mazery.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok bagi mendengar prosiding soal balas terhadap Azman.

Mahkamah turut menetapkan 14 September ini bagi pihak pembelaan menyoal balas Mazery.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here