KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan insiden sebuah kereta melanggar tembok konkrit parkir di Merdeka Villa, Ampang, yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kaunter aduan trafik Ampang Jaya menerima makluman mengenai kejadian itu jam 7.55 malam.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 3 petang hari yang sama semasa pemandu kereta berkenaan sedang bergerak keluar dari parkir.
“Kereta yang dipandu telah hilang kawalan kerana tertekan pedal minyak lalu menyebabkan kenderaan tersebut terus melanggar tembok yang berada di hadapan dan kemudiannya menjunam jatuh ke aras bawah.
“Akibat dari pelanggaran tersebut, tembok konkrit yang dilanggar telah runtuh dan terkena pada lima kenderaan lain yang berada di kawasan parkir aras bawah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa yang dialami.
Kesemua pihak terlibat telah hadir membuat laporan polis berkait dengan kemalangan tersebut.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang telah hilang kawalan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikompaun tidak kurang 300 ringgit Malaysia dan tidak melebihi RM2000. -MalaysiaGazette
















