Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin membidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerana menyamakan lebihan perbelanjaan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Danish berkata, perbandingan itu tidak tepat kerana kadar lebihan perbelanjaan kedua-dua kementerian berkenaan jauh berbeza.

Ujarnya, KPM pada 2024 mencatat lebihan sekitar 1.95 peratus berbanding peruntukan, manakala KKDW mencatat lebihan 53.8 peratus pada tahun sama.

“Akmal beri contoh Kementerian Pendidikan pada 2024. Katanya KPM diperuntukkan RM58.726 bilion tetapi membelanjakan RM59.871 bilion.

“Ya, fakta ini betul, tetapi Akmal terlupa hendak beritahu satu perkara penting. Lebihnya cuma sekitar 1.95 peratus,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danish, berdasarkan angka rasmi Kementerian Kewangan (MOF), KKDW pada 2023 diperuntukkan RM1.1 bilion tetapi membelanjakan RM1.8 bilion, iaitu lebihan 63.6 peratus.

“Pada 2024, diperuntukkan RM1.3 bilion tetapi dibelanjakan RM2 bilion. Lebih 53.8 peratus.

“Pada 2025 pula, diperuntukkan RM1.6 bilion tetapi dibelanjakan RM2.3 bilion. Lebih 43.8 peratus,” tegasnya.

Justeru, Danish berkata, Akmal sepatutnya membuat perbandingan secara menyeluruh sekiranya mahu menggunakan perbelanjaan KPM sebagai contoh.

“KPM 2024: lebih 1.95 peratus. KKDW 2024: lebih 53.8 peratus.

“Kadar lebihan KKDW hampir 28 kali ganda berbanding KPM. Ini bukan beza sedikit. Jauh sangat bezanya,” jelasnya.

Beliau berkata, keadaan itu lebih membimbangkan apabila KKDW setakat Jun 2026 sudah membelanjakan RM1.9 bilion daripada RM2.1 bilion peruntukan bagi projek jalan luar bandar.

“Maknanya, baru separuh tahun, lebih 90 peratus peruntukan setahun sudah digunakan.

“Sebab itu apabila Kamil Munim respons, jangan cepat melenting. Soalannya mudah. Kalau baru separuh tahun hampir seluruh peruntukan sudah digunakan, bagaimana perbelanjaan ini dirancang?,” soalnya.

Danish turut merujuk kenyataan rasmi MOF tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.

Tambahnya, kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah hampir sepenuhnya dibelanjakan.

“Untuk tahun 2026, MOF sudah meluluskan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

“Jadi jangan pusing cerita sehingga rakyat mendapat gambaran seolah-olah projek sudah diluluskan tetapi Kementerian Kewangan sengaja tidak mahu menyalurkan wang kepada KKDW,” katanya.

Dalam pada itu, Danish berkata sekiranya masih terdapat projek yang telah diluluskan tetapi timbul masalah peruntukan atau pembayaran, perkara itu mempunyai saluran untuk diselesaikan dalam kerajaan.

“Presiden UMNO ialah timbalan perdana menteri dan duduk dalam Jemaah Menteri.

“Bawa senarai projek itu ke mesyuarat Kabinet. Tunjukkan projek mana, berapa nilainya, bila diluluskan, berapa yang sudah dibelanjakan dan berapa lagi diperlukan.

“Bincang dan selesaikan,” katanya.

Menurutnya, Kabinet sepatutnya menjadi tempat kerajaan mencari penyelesaian dan bukannya menjadikan media sebagai ruang rundingan antara anggota kerajaan.

“Kalau masalah itu berada dalam kerajaan dan presiden sendiri duduk dalam Kabinet, meja pertama untuk mengetuk ialah meja Kabinet, bukan mikrofon media,” tegasnya.

Mengulas kenyataan Akmal yang mahu menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada PMX kepada XPM, Danish berkata, Ketua Pemuda UMNO itu sepatutnya memastikan hujah yang dikemukakan tidak mengelirukan rakyat.

“Sebelum sibuk mahu menukar PMX menjadi XPM, mungkin Akmal patut pastikan dahulu hujah sendiri tidak bertukar daripada ‘fakta’ menjadi ‘auta’. Kamil menjalankan tugasnya dengan mempertahankan prinsip akauntabiliti.

“Kalau mahu beri kuliah tentang kewangan kerajaan, silakan. Tetapi sebelum mengajar orang lain, tengok angka sampai habis. Sebab 1.95 peratus dengan 53.8 peratus bukan benda yang sama.

“Kalau angka sejauh ini pun mahu disamakan, masalahnya mungkin bukan pada Kamil yang bertanya. Mungkin kalkulator Akmal yang perlukan bateri baharu,” sindirnya. -MalaysiaGazette

Asas kewangan kerajaan pun tak faham? – Akmal bidas Kamil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here