KUALA LUMPUR – Perwakilan UMNO bebas membangkitkan sebarang pandangan termasuk desakan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, parti itu juga tidak akan menyekat mana-mana pembahas daripada mengemukakan pandangan berkaitan hala tuju UMNO mahupun kerajaan pada masa akan datang.
“Kita tidak sekat pembahas. Terbuka sebarang perbahasan daripada perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO kelak.
“Kita akan buka kepada umum, ada siaran langsung perbahasan secara langsung,” katanya pada sidang media PAU 2026 di Menara Dato Onn, di sini.
Mengulas kemungkinan desakan supaya PRU diadakan lebih awal menjadi antara perkara yang dibahaskan, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu terpulang kepada perwakilan untuk diketengahkan.
Perbahasan juga boleh merangkumi hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan serta pertimbangan mengenai gabungan yang akan disertai parti dalam pembentukan kerajaan akan datang.
Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan dasar dan hala tuju parti perlu dibuat melalui platform yang sah mengikut Perlembagaan UMNO.
“Keputusan dasar dan hala tuju parti ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ataupun Perhimpunan Agung UMNO apabila bersidang.
“Jadi, kalau ada usul, kita serahkan kepada perwakilan untuk dibahaskan dan diputuskan melalui proses yang ditetapkan parti,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, secara tradisinya, sesebuah kerajaan jarang menunggu sehingga genap lima tahun sebelum PRU diadakan.
Menurutnya, secara purata, sesebuah kerajaan bertahan sekitar tiga tahun lima bulan hingga empat tahun sebelum PRU berikutnya.
“Bulan 11 ini kira-kira sudah empat tahun. Jadi, kita berada pada fasa akhir dalam kitaran yang biasanya berlaku,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PRU16 diadakan lebih awal, ia adalah lebih baik, namun parti itu tetap bersedia sekiranya kerajaan memilih untuk menghabiskan tempoh penggal.
Mengulas pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, beliau berkata, keputusan UMNO menyertai kerajaan berkenaan pada 2022 dibuat menerusi mekanisme parti dan bukan keputusan individu.
Katanya, selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk, perkara itu dibawa kepada MKT menerusi mesyuarat khas.
“Ketika itu tidak ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti. Jadi kita letakkan kepentingan negara dan maslahat rakyat mengatasi segala perbezaan untuk membolehkan kerajaan dibentuk,” katanya.
Sementara itu, mengenai beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum berdepan pendakwaan di mahkamah, Asyraf Wajdi berkata, mereka tidak wajar terus dianggap bersalah hanya berdasarkan persepsi.
Katanya, proses siasatan dan pendakwaan perlu dibezakan daripada keputusan mahkamah yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya.
“Pandangan kita, pimpinan BN hanya disiasat, bukan dijatuhkan hukuman. Jangan anggap persepsi bersalah sehingga dibuktikan,” katanya. – MalaysiaGazette
Kalau PRU16 Diadakan Lebih Awal, Itu Lebih Baik – TPM Zahid #MGFlash
















