Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali ke-67 di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2026.

KOTA BHARU – Penyatuan antara parti politik Melayu dan Islam tidak boleh berlaku hanya ketika mempunyai musuh atau kepentingan politik yang sama, sebaliknya perlu dibina atas asas perjuangan Islam yang kekal, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Beliau berkata, penyatuan tidak seharusnya bermusim, iaitu bersatu ketika mahu mencapai kemenangan tetapi kembali berpecah selepas kepentingan politik berubah.

“Kita tidak boleh bersatu ketika mahu menang tetapi kembali bertelagah setelah mendapatkan kemenangan.

“Kita tidak boleh hanya duduk bersama apabila mempunyai musuh yang sama, tetapi berpisah apabila kepentingan politik mula berubah,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh pengalaman penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional yang pernah menyaksikan penyatuan antara dua kelompok parti politik Melayu dan Islam terbesar negara.

Menurutnya, usaha tersebut pada awalnya menyaksikan penyatuan yang cukup kuat sehingga membangkitkan emosi dalam kalangan pimpinan kedua-dua parti, namun akhirnya terhenti di tengah jalan akibat sikap segelintir pihak yang mementingkan kepentingan sendiri.

“Ada kelompok-kelompok yang menyebabkan perpecahan itu kembali berlaku. Ada sikap-sikap yang mementingkan diri, tidak kira daripada sesiapa pun, yang menyebabkan perpecahan itu kembali berlaku.

“Sebab itu kita ulang beberapa kali, penyatuan yang ada ini tidak boleh bermusim. Mesti mengetepikan semua kepentingan yang ada, barulah penyatuan yang sebenar-benarnya dapat dibina,” katanya.

Afnan berkata, landskap politik negara sentiasa berubah dan perkara yang dianggap mustahil pada masa lalu boleh berlaku apabila wujud kesediaan untuk mencari titik persamaan.

Katanya, perubahan itu dapat dilihat apabila Pas menerima kehadiran pimpinan parti yang sebelum ini menjadi lawan politik pada muktamar kali ini.

“Tidak pernah kita menyangka pada hari ini kita akan menerima tetamu daripada rakan-rakan gabungan dan daripada rakan yang sekurang-kurangnya menjadi lawan.

“Tidak pernah kita menyangka,” ujarnya.

Beliau turut memberi contoh perkembangan politik di Johor apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menggesa pengundi menyokong calon Perikatan Nasional (PN) walaupun calon daripada Pas tidak bertanding di kerusi berkenaan.

Menurutnya, perkembangan di Negeri Sembilan juga menunjukkan rundingan politik mampu dilakukan dengan baik sehingga mengelakkan pertembungan.

“Tidak pernah disangka di Negeri Sembilan rundingan dapat dibuat dengan begitu baik dan tidak ada pertembungan-pertembungan.

“Ini membuktikan dimensi politik akan berubah. Nama parti politik pun mungkin boleh berubah,” katanya.

Bagaimanapun, Afnan menegaskan, terdapat perkara yang tidak akan berubah iaitu Islam, akidah dan pegangan terhadap perintah Allah SWT.

Katanya, Islam muncul lebih awal sebelum kewujudan parti politik dan pelbagai ideologi yang ada pada hari ini, malah agama itu sendiri menjadi asas yang menyatukan umat.

“Yang kekal, yang tidak berubah ialah Islam. Yang tidak berubah ialah akidah. Yang tidak berubah ialah pegangan kita kepada perintah Allah.

“Sebelum munculnya parti-parti politik dan apa juga fahaman atau ideologi, Islam muncul lebih awal untuk menyatukan kita,” tambahnya.

Beliau berkata, kesatuan umat berasaskan Islam perlu terus dipelihara kerana perkara yang mengikat perjuangan bukan sekadar percaturan politik, sebaliknya tanggungjawab terhadap agama dan umat.

“Kita mahu semangat ini terus dijaga sehingga terpisahnya roh dan jasad kita kerana yang mengikat kita bukan sekadar percaturan politik, tetapi tanggungjawab terhadap agama dan umat.

“Generasi terdahulu telah membuka jalannya dan menanam benihnya. Hari ini kita melalui jalan tersebut dengan penuh penyatuan yang kita pimpin.

“Inilah amanah kita. Inilah tanggungjawab kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here