Maritim dan pasukan penyelamat lain memperluaskan kawasan operasi pencarian sehingga dua batu nautika di Pantai Tanjung Lompat, Penawar, Kota Tinggi hari ini

KOTA TINGGI – Pasukan keselamatan hari ini memperluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja yang masih hilang akibat lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini sehingga dua batu nautika.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, langkah perluasan sektor pencarian dilakukan susulan penemuan seorang mangsa pada jarak 500 meter dari lokasi kejadian semalam.

“Operasi hari ini ditingkatkan daripada satu batu nautika kepada dua batu nautika di kawasan pantai ini.

Pasukan keselamatan terutama bomba dan maritim melihat kawasan operasi pencarian yang diperluaskan sehingga dua batu nautika hari ini

“Apabila diluaskan pencarian, ada kemungkinan mereka berada lebih jauh dari lokasi asal,” katanya dalam sidang akhbar di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini hari ini.

Terdahulu, portal ini melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua berjaya diselamatkan selepas mandi di pantai berkenaan pukul 7.30 pagi semalam.

Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk kampung pukul 1.25 petang, kira-kira 800 meter dari lokasinya dilaporkan lemas.

Tiga lagi yang masih belum ditemukan adalah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, semua mangsa berusia 16 tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, operasi SAR bagi mengesan tiga lagi mangsa bermula pukul 7 pagi melibatkan 41 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

Katanya, dua buah dron daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut digunakan.

“APMM dan bomba telah menerbangkan dua dron sebanyak dua kali pada sesi pagi hari ini,” ujarnya.

Menurutnya, dron-dron berkenaan akan terus diterbangkan semasa air pasang nanti bagi melihat kemungkinan ketiga-tiga mangsa dihanyutkan ke kawasan pantai lain.

Tambahnya, operasi SAR berkenaan turut berdepan cabaran berikutan keadaan onbak yang mencapai ketinggian 1.15 meter.

“Keadaan mungkin berubah pada tengah hari berikutan air pasang dan berkemungkinan cuaca buruk,” katanya.

Mohd Najib memberitahu, pihak berkuasa negara jiran turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan menerusi Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru.

Namun, fokus pencarian ketika ini tetap tertumpu di perairan Malaysia termasuk di kawasan darat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here