KOTA BHARU – “Bila kita berjuang, kita ada satu pendirian,” Itu ketegasan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang sekali lagi menekankan tidak akan menjadi calon sekiranya Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Beliau berkata, pendirian itu dipegang sejak dahulu, kini dan selamanya, justeru beliau sanggup tidak bertanding daripada menggadaikan prinsip semata-mata demi mendapatkan jawatan.
“Pendirian saya dulu, kini, insya-Allah selamanya tidak akan bersama dengan PH. Jika BN bersama dengan PH, saya sendiri tidak akan menjadi calon. Saya tidak mahu bertanding pun.
“Sebab bagi saya, bila kita berjuang ini, kita ada satu pendirian. Saya tidak akan menggadaikan pendirian saya hanya sekadar demi sebuah jawatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini, hari ini.
Akmal berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lepas berhubung rundingan rasmi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Menurut laporan media, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengesahkan perkara itu namun menjelaskan beliau menyerahkan kepada kepimpinan BN Melaka yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk berunding dan memuktamadkan keputusan berkaitan.
Ahmad Zahid turut mengesahkan hanya berlangsung perbincangan biasa antara BN dengan PH ketika ini.
Mengulas lanjut Akmal berkata, pendirian tersebut bukan sekadar pandangan peribadinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebaliknya turut mencerminkan pendirian yang dibawanya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Pendirian saya bukan sahaja pendirian seorang ADUN. Pendirian saya adalah pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menyatakan dengan tegas bahawa kita sama sekali tidak ingin bersama dengan PH.
“Pimpinan (atasan) saya tidak tahu, tetapi ini pendirian pimpinan Pemuda. Itu pendirian saya, tegas,” katanya.
Menurut beliau, pendirian supaya UMNO tidak bersama PH juga pernah dinyatakan secara terbuka pada awal tahun lalu menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia.
Katanya, ketika itu Pemuda UMNO telah menyatakan hasrat supaya parti berkenaan keluar daripada kerajaan, namun menghormati keputusan parti untuk terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita sebenarnya pada awal tahun lepas, di Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia sudah menyatakan hasrat supaya UMNO keluar daripada kerajaan ini.
“Itu pendirian tegas kita. Tetapi selepas konvensyen itu, parti membuat keputusan untuk kekal sehingga tamat PRU. Jadi, kita hormat pendirian parti,” katanya.
Bagaimanapun Akmal menegaskan, pendiriannya untuk tidak bertanding sekiranya BN bekerjasama dengan PH di Melaka kekal seperti yang dinyatakan sebelum ini.
“Pendirian saya untuk tidak bertanding jika BN-PH di Melaka, saya kekal dulu, kini dan insya-Allah selamanya,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















