MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) melaksanakan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan untuk menyebarkan fitnah atau mencari kesalahan pihak lain.
Sebaliknya, beliau berkata, WRUR dilaksanakan bagi mengenal pasti permasalahan rakyat di peringkat akar umbi dan memastikan tindakan penyelesaian dapat dilakukan dengan segera.
Menurutnya, keberkesanan pendekatan itu terbukti apabila sebanyak 4,778 aduan diterima sejak WRUR dilaksanakan tahun lalu, dengan 75 peratus daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Kita bekerja untuk rakyat. Kita dipilih untuk rakyat dan berkhidmat untuk rakyat. Kita tidak menjadi seorang ahli politik yang cukup pakar memfitnah. Kita tidak menjadi seorang ahli politik yang cukup suka mencari salah orang lain. Kita sebuah parti politik yang menguruskan kerajaan.
“Berkhidmat untuk rakyat, dari rakyat untuk rakyat, kita beri sepenuhnya perkhidmatan kita kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di Kampung Bukit Payung, Alor Gajah, di sini hari ini.
Ab Rauf berkata, di bawah pentadbirannya, semua wakil rakyat tidak seharusnya hanya menunggu masalah atau aduan dibawa rakyat ke pejabat mereka.
Sebaliknya, mereka perlu turun padang bagi mendengar sendiri rungutan, masalah dan cadangan rakyat.
“Saya akan pastikan segala rungutan, rintihan dan cadangan akan kita selesaikan dengan cara yang paling bijak. Inilah cara kita bekerja.
“Bukan menunggu rakyat datang mencari Ketua Menteri, tetapi Ketua Menteri dan seluruh jentera kerajaan datang mencari rakyat,” tegasnya.
Menurut Ab Rauf, pendekatan turun padang itu terbukti berkesan dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat, selain membolehkan masalah yang dihadapi masyarakat dikenal pasti secara langsung.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif kerajaan negeri untuk penduduk DUN Taboh Naning di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Katanya, hampir RM500,000 disalurkan kepada DUN Taboh Naning bagi membantu golongan yang memerlukan di kawasan berkenaan.
“Ia meliputi bantuan perniagaan, pendidikan, keperluan asas, dewan orang ramai dan perumahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















