Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram, ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak jahat atau `miskin hina’ untuk menjual nama Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan wang untuk disalurkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Datuk Seri Azman Yusoff berkata, sebaliknya beliau terhutang budi kepada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kerana membantu kontraktor Bumiputera ketika pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan projek di bawah Program Janawibawa.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengapa beliau tidak membuat laporan terhadap Muhyiddin, Azman berkata, beliau tidak mahu bersubahat dengan bekas Perdana Menteri.

Menurut Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd. berkata, beliau hadir ke mahkamah hanya untuk memberi keterangan yang benar selepas mengangkat sumpah sebagai saksi.

“Tidak kira sama ada Tan Sri Muhyiddin menang atau kalah dalam kes ini, saya hadir ke mahkamah untuk berkata benar.

“Saya tidak direman atau didakwa, saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukannya,” ujar saksi pendakwaan ke-27 itu ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhyiddin berkaitan kes Janawibawa.

Pada sesi pemeriksaan semula, Azman turut dirujuk dengan borang aduan ketika siasatan dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut saksi, beliau tidak bersetuju dengan kandungannya yang menyatakan beliau meminta dan menerima wang daripada syarikat-syarikat berkaitan perolehan projek Janawibawa.

Kata Azman, dalam pertemuan pada satu acara golf sekitar Julai 2020, Muhyiddin memaklumkan jika mana-mana pihak berhasrat memberi sumbangan kepada Bersatu, ia perlu dimasukkan terus ke dalam akaun parti, bukan kepada individu.

Meskipun mengetahui perbuatan Presiden Bersatu itu salah, beliau tidak membuat laporan kerana ia (sumbangan kepada Bersatu) merupakan permintaan Muhyiddin.

“Rasuah melibatkan pihak yang mempunyai kuasa walhal saya tiada kuasa untuk memberikan projek kepada mana-mana syarikat kerana kuasa hanya ada pada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Sewaktu ditanya bahawa beliau `membuka pintu’ kepada seorang pengarah syarikat dikenali sebagai TC Lian, Azman menjelaskan bahawa beliau hanya memperkenalkan ahli perniagaan itu kepada individu dikenali sebagai Adam Radlan Adam Muhammad.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung 14 September ini.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here