KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan menafikan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau menggunakan kedudukan selaku Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) untuk bergaul rapat dengan Menteri Kerja Raya bagi memperoleh projek kerajaan.
Ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Janawibawa dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azman Yusoff juga tidak bersetuju dengan soalan balas pihak pembelaan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan ramai kenalan dalam kalangan pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR).
Beliau yang juga Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd. bagaimanapun bersetuju dengan soalan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa seorang pengarah syarikat, Shahradzi Shamsuddin datang bertemunya sekitar 2021 untuk meminta pertolongan.
Peguam: Kamu setuju bahawa kamu ramai kenalan di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKR, sebab itu Shahradzi datang bertemu kamu?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Dia jumpa kamu sebab kamu Presiden PKBM?
Saksi: Saya tiada kuasa pun, saya Presiden dalam industri sahaja.
Pada perbicaraan sebelum ini, Shahradzi yang juga Pengarah Urusan Mamfor Sdn. Bhd. berkata, beliau menyalurkan sumbangan RM19.5 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai balasan syarikat Sutracom Sdn. Bhd. milik adiknya Shahrin mendapat projek Janawibawa di Pulau Indah.
Menjawab soalan Amer Hamzah, Azman selanjutnya menyatakan, beliau membuat semakan terhadap tarikh acara golf yang disertai Muhyiddin selepas dihubungi oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mazery Mohd. Zaini pada 25 Julai lalu.
Peguam: Berdasarkan rentetan tarikh, saya katakan kamu diminta oleh sprm untuk mencari tarikh yang boleh disesuaikan dengan naratif SPRM?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Apabila dihubungi Mazery pada 25 Julai, baru SPRM sedar bahawa maklumat yang kamu berikan kononnya ada perbincangan pada Mei 2020, adalah tidak benar?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Jika maklumat yang kamu berikan itu benar, tiada keperluan untuk kamu membuat pindaan pada pernyataan saksi (berhubung tarikh acara golf)?
Saksi: Tidak setuju.
Peguam: Kalau kamu tidak dihubungi SPRM, kamu tidak akan membuat apa-apa pengesahan dengan Tropicana Golf & Country Resort (TGCR)?
Saksi: Setuju.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung 14 September ini.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















