KOTA TINGGI – Dua daripada enam remaja yang terselamat dalam tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini semalam masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan mengalami kecederaan ketika diselamatkan di kawasan berbatu di pantai berkenaan.
“Kedua-duanya yang masing-masing berusia 16 tahun mengalami kecederaan fizikal termasuk trauma. Jadi kita akan sediakan perkhidmatan sokongan bersesuaian kepada mereka termasuk daripada segi psikologi.

“Bantuan sama juga akan kita berikan termasuk keluarga empat lagi mangsa yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa serta meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pos kawalan di Pantai Tanjung Lompat hari ini.
Semalam portal ini melaporkan, enam remaja lemas selepas menjalankan aktiviti mandi pantai, sebelum dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat yang lain hilang.
Dua daripada mangsa yang hilang iaitu Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, ditemukan lemas pukul 1.25 petang semalam manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, pula ditemukan pukul 1.53 petang tadi.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, masing-masing berusia 16 tahun masih diteruskan.
Radius pencarian pada hari ini diperluaskan ke dua batu nautika dan menerbangkan dua dron bagi mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan dihanyutkan ke pantai lain.- MalaysiaGazette
















