GEORGE TOWN – Operasi serentak dua klinik subkepakaran bersama Klinik Pembedahan Am menjadi antara faktor jumlah pesakit di Hospital Pulau Pinang (HPP) meningkat sehingga mencetuskan kesesakan yang tular di media sosial, 26 Ogos lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Abdullah berkata, jumlah pesakit pada hari kejadian lebih tinggi berbanding kebiasaan berikutan tiga perkhidmatan klinik beroperasi pada masa sama.
“Pada hari kejadian seperti mana yang ditularkan, jumlah pesakit adalah lebih ramai daripada hari kebiasaannya kerana terdapat dua klinik subkepakaran yang sedang beroperasi secara serentak bersama-sama dengan Klinik Pembedahan Am.
“Klinik Pembedahan Am HPP sememangnya menerima purata kira-kira 120 pesakit bagi setiap sesi klinik, membabitkan kes baharu dan rawatan susulan.
“Jumlah itu, belum termasuk pesakit yang hadir untuk menjalani prosedur pembedahan kecil serta biopsi yang turut dijalankan di klinik sama,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Zulhizzam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan pengurusan HPP memandang serius isu kesesakan berkenaan, selain menghargai maklum balas orang awam dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
Sebagai langkah jangka pendek, katanya, HPP sedang memperluaskan dan menaik taraf pelaksanaan Sistem iQMS bagi membolehkan pesakit memantau nombor giliran secara maya menggunakan telefon pintar.
“Ini memberikan fleksibiliti kepada pesakit dan pengiring untuk menunggu giliran mereka di lokasi lain yang lebih selesa dan lapang di sekitar kawasan hospital, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan fizikal di ruang menunggu klinik.
“Sistem itu sedang dilaksanakan secara berfasa dan akan diperluaskan ke semua klinik pakar pada hujung tahun ini.
“Penyelesaian jangka panjang turut dirancang menerusi pembukaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak HPP yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2027,” katanya.
Dr Zulhizzam berkata, pemindahan jabatan berkaitan ke blok baharu itu kelak akan membuka ruang di bangunan sedia ada untuk pengembangan dan perluasan Klinik Pembedahan Am.
“Ini pastinya akan memberikan kapasiti ruang fasiliti yang jauh lebih besar serta persekitaran yang lebih selesa buat semua pesakit,” katanya. – MalaysiaGazette
















