Suasana perwakilan semasa mengibarkan jalur gemilang selepas perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali ke-67 di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2026.

PENGKALAN CHEPA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini meskipun sebelum ini beliau dilaporkan akan menghadiri perhimpunan berkenaan.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai rombongan pimpinan parti itu ke muktamar berkenaan, sekali gus mengulangi sejarah tujuh tahun lalu apabila wakil UMNO buat kali pertama hadir pada Muktamar Pas 2019 di Pahang.

Turut hadir  ialah Ketua UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Alwi Che Ahmad.

Kehadiran pimpinan UMNO itu disambut pimpinan Pas sebaik tiba di PUTIK.

Selain UMNO, muktamar turut dihadiri pimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MIPP).

Sebelum ini, sumber memaklumkan kepada media, Zahid dijangka menghadiri muktamar Pas, namun pembatalan kehadiran itu difahamkan dibuat pada saat akhir, lewat malam tadi.

Dan, tiada alasan lanjut diberikan berhubung ketidakhadiran Presiden UMNO itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas menjemput pemimpin UMNO menghadiri muktamar kali ini mengambil kira kedudukan UMNO sebagai rakan kerjasama strategik.

Semalam, rombongan Pemuda UMNO diketuai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh hadir pada Muktamar Dewan Pemuda Pas, manakala Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad menghadiri Muktamar Dewan Ulama Pas.

Kehadiran pimpinan UMNO pada muktamar Pas kali ini kembali menjadi perhatian kerana kedua-dua parti mempunyai sejarah kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN).

Kali terakhir pemimpin UMNO dijemput menghadiri Muktamar Pas ialah pada 2019 di Pahang, dengan rombongan parti itu ketika itu diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here