PENGKALAN CHEPA – Pas mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang dianggap sebagai “Negeri Pangkalan” parti itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penguasaan di empat negeri berkenaan atau SG4 perlu dikekalkan dan diperkukuh, selain memastikan agenda Islam dilaksanakan mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.
“Setiap kerusi DUN dan Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU15 wajib dipertahankan, manakala Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) sebagai ‘Negeri Pangkalan’ mesti terus dikekalkan penguasaannya, diperkukuh pentadbirannya serta dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.
Menurut beliau, pencapaian kerajaan negeri pimpinan Pas perlu disampaikan kepada rakyat dan pengundi menerusi mesej yang jelas serta pantas, terutama bagi menangani serangan dan dakwaan terhadap pentadbiran parti itu.
Katanya, kerajaan negeri juga perlu mengutamakan penyelesaian terhadap isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas bersyukur dengan kejayaan melahirkan “anak sulung” parti itu di Sabah, selain berjaya menambah bilangan kerusi dan memperluas pengaruh di Negeri Sembilan.
Katanya, pencapaian berkenaan membawa tanggungjawab besar kepada Pas untuk memenuhi kepercayaan yang diberikan rakyat.
“Keutamaan Pas ialah mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua,” katanya.
Beliau berkata Pahang, Perak dan Selangor pula disasarkan menjadi negeri yang akan menyumbang kepada kemenangan Pas pada pilihan raya akan datang.
Katanya, perkembangan itu mampu memperkukuh kedudukan Pas dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Parlimen, selain meningkatkan pencapaian parti di Melaka yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kemenangan seterusnya akan disumbangkan oleh Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi Pas dan PN di peringkat Parlimen, di samping melonjakkan pencapaian di Melaka yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi,” ujarnya.
Sementara itu Abdul Hadi berkata, bagi memenuhi prasyarat kemenangan menuju PRU16, seluruh jentera Pas perlu mengambil pendekatan politik yang berhikmah dalam usaha menyatukan masyarakat Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi membentuk sebuah masyarakat majmuk yang harmoni di Malaysia tanpa menggadaikan prinsip perjuangan parti.
“Pas berpegang pada Islam dan tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam mana-mana perjanjian. Pas berjanji dengan hukum Islam dan membatalkan janji juga dengan hukum Islam.
“Pada masa sama, perpaduan ummah tidak bererti menafikan hak masyarakat bukan Islam.
“Usaha memperkukuh perpaduan umat hendaklah berjalan bersama jaminan keadilan kepada masyarakat bukan Islam dan penghormatan kepada kebebasan beragama dalam kerangka Perlembagaan,” tambahnya.
Abdul Hadi berkata, Pas juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang membawa kebaikan kepada negara, namun tidak akan menggadaikan dasar serta prinsip perjuangannya.
Menurutnya lagi, usaha penyatuan itu bukan hanya berlaku di peringkat nasional, malah turut mendapat sambutan di peringkat negeri, kawasan dan cawangan Pas. – MalaysiaGazette
















