Pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan pada 29 Julai 2026 di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (Soetta), Tangerang kerana membawa dadah.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan enam lelaki tempatan berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, Indonesia, pada 29 Julai lalu.

Kesemua mereka ditahan susulan maklumat yang diperoleh hasil soal siasat terhadap pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu oleh sepasukan pegawai JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos lalu, menurut laporan Buletin TV3.

Laporan yang memetik Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan sebagai berkata, kesemua yang ditahan berperanan sebagai pembekal dan penghantar bekalan dadah kepada juruterbang terbabit.

Mereka yang berusia antara 23 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi khas yang dilaksanakan JSJN sejak 20 hingga 28 Ogos lalu, dipercayai memainkan peranan sebagai upline (orang atasan) dan downline (orang bawahan) dalam sindiket pengedaran dadah yang membabitkan pembantu juruterbang ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, pihak polis mempunyai kuasa menahan reman mana-mana suspek selama 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.

Hussein berkata, JSJN turut akan berkongsi maklumat yang diperoleh dengan Polis Republik Indonesia (POLRI).

Pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.

Penahanan dibuat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang itu mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here