Exco AMK Malaysia, Atillah Sani
Atillah Sani

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengecam tindakan Ketua Penerangan Puteri UMNO yang didakwa melabel Nurul Izzah Anwar dengan gelaran berunsur fitnah dan penghinaan menerusi satu hantaran di Threads.

Exco AMK Malaysia, Atillah Sani berkata, perbezaan politik bukan lesen untuk mana-mana pihak melemparkan tuduhan keji, lebih-lebih lagi dengan menggunakan isu peribadi dan seksual sebagai senjata politik.

“Ini bukan lagi soal siapa menyokong parti mana, tetapi soal maruah, adab dan tanggungjawab dalam berpolitik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, individu yang memegang jawatan dalam sayap politik parti sepatutnya menunjukkan kematangan serta disiplin dalam berkomunikasi, bukannya mengheret politik negara ke tahap serangan peribadi.

Menurutnya, tindakan itu juga dilihat sebagai sikap pengecut kerana terpaksa berselindung di sebalik fitnah dan penghinaan terhadap individu.

“AMK melihat tindakan sebegini sebagai satu contoh buruk budaya politik yang cuba dinormalisasikan, seolah-olah apabila seseorang itu lawan politik, maka maruahnya boleh dipijak sesuka hati,” ujarnya.

Sehubungan itu, Atillah berkata, AMK Malaysia akan membuat laporan polis berhubung hantaran terbabit dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Tegasnya, AMK tidak akan berdiam diri apabila maruah seseorang dijadikan bahan permainan politik.

“Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh bertikam lidah soal dasar. Tetapi jangan sampai hilang akal dan hilang maruah,” tegasnya.

Difahamkan, sebelum ini, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi, mencetuskan kontroversi selepas satu hantaran di Threads miliknya mengaitkan Nurul Izzah Anwar dengan tuduhan liwat.

Dalam hantaran berkenaan, Shamellya menulis, “So Nurul Izzah juga peliwat?” yang kemudiannya mengundang kecaman pengguna media sosial kerana didakwa membawa tuduhan serius terhadap individu yang tidak pernah didakwa atas kesalahan berkenaan.

Seorang pengguna Threads turut menegur tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan membina naratif fitnah terhadap Nurul Izzah.

Tidak lama kemudian, Shamellya memadam hantaran berkenaan dan mengeluarkan permohonan maaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here